ARAU: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin optimis rakyat khususnya orang Melayu akan terus menyokong parti itu jika Kerajaan Perpaduan dukungan parti itu dan Pakatan Harapan berjaya mentadbir negara dengan berkesan.

Beliau berkata pada masa ini, masih terlalu awal untuk merumuskan yang sokongan orang Melayu terhadap UMNO semakin berkurangan kerana Kerajaan Perpaduan baru setahun namun parti itu masih perlu menguruskan perkara berkaitan sokongan Melayu terhadapnya.

"Kita memang tidak menafikan bahawa kita masih perlu mengurus perkara itu tetapi ia (orang Melayu) juga mungkin berasakan belum melihat lagi sejauh mana keberkesanan Kerajaan Perpaduan, mungkin kerana (baru) satu tahun.

"Mungkin selepas tiga, empat tahun melihat (Kerajaan Perpaduan) tidak mengancam kedudukan orang Melayu, ia tidak menggugat agama Islam, ia kerajaan betul dapat deliver, bawa perubahan dan sebagainya, rakyat akan ubah sokong kerajaan bawa kebaikan kepada mereka," katanya.

Menteri Pendidikan Tinggi itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat TVET Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Kampus Alam, Pauh Putra di sini semalam.

Turut hadir Naib Canselor UniMAP Profesor Datuk Dr Zaliman Sauli.

Pada 4 Dis lepas, media melaporkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kemaman menunjukkan sokongan kepada UMNO merosot dan akan terus merosot selagi parti itu terus menjalin kerjasama dengan DAP.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan pula dilaporkan berkata usaha mengembalikan semula kepercayaan orang Melayu kepada UMNO masih jauh daripada berjaya namun tidak mustahil untuk dicapai meskipun ia tugas sukar.

Pada pilihan raya itu, Pas mengekalkan kerusi Parlimen Kemaman melalui calonnya Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang meraih majoriti 37,220 setelah memperoleh 64,998 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mendapat 27,778 undi.

-- BERNAMA