Tiada sebarang perbincangan rasmi mengenai kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilakukan dalam mesyuarat Kabinet, petang tadi.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata dakwaan Anwar beliau mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan bukan perkara penting dan hanya disebut sepintas lalu.

"Kita bincang sepintas lalu sahaja. Ia bukan satu isu besar bagi kita. Setiausaha parti sudah beri kenyataan, saya kira itu sudah cukup," kata beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air.

Beliau mengulas kenyataan Anwar pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini yang mendakwa mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim mengulangi kenyataan Pas sebelum ini bahawa parti itu tetap teguh di belakang kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

"Saya cabar beliau (Anwar) untuk kemukakan senarai nama-nama mereka yang memberi sokongan kepadanya," tambahnya.

Mengenai kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak dapat menghalang ahli Parlimen parti itu jika mahu menyokong Anwar, Tuan Ibrahim berkata mereka perlu dipastikan menyokong Pakatan Nasional (PN).

"Dalam sistem demokrasi, itu hak masing-masing (untuk beri sokongan). Tetapi parti mengawal ahli-ahli Parlimen.

"Jadi parti bertanggungjawab untuk pastikan ahli Parlimen kita menyokong Perikatan Nasional," ujarnya.

Beliau ditemui selepas majlis sambutan Hari Ozon Sedunia dan prapelancaran Hari Alam Sekitar Negara 2020, di sini, pada Rabu.

Hari Ozon Sedunia yang turut diraikan 197 negara lain disambut pada 16 September setiap tahun manakala Hari Alam Sekitar Negara pula (21 Oktober) dengan sambutan peringkat nasional berlangsung di Kubang Kerian, Kelantan, pada 24 Oktober.