KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) malam ini berakhir kira-kira 11 malam, selepas dua jam berlangsung di sebuah hotel di ibu negara.

Ia dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga merupakan Pengerusi Perikatan Nasional, dan Presiden Bersatu.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin memberitahu media, mesyuarat itu hanya untuk memberi penerangan kepada ahli-ahli MPT mengenai situasi semasa politik di negara ini.

“Perjumpaan tadi untuk menjelaskan beberapa perkara yang kadang-kala (terjadi) apabila bila isu seperti ini timbul. Kita hanya nak maklumkan sahaja bagaimana peristiwa kemelut politik dan isu semasa.

“Itu sahaja kita lakukan demi masa depan kita bersama. Perdana Menteri baharu ini mendapat sokongan daripada kami Bersatu dan juga parti komponen Perikatan Nasional,” katanya lagi.

Terdahulu, media difahamkan mesyuarat itu bagi membincangkan hala tuju Bersatu menjelang pembentukan Kabinet baharu pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Antara yang hadirTimbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Naib Presiden Radzi Jidin, serta Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Selain itu, turut kelihatan Ahli MPT Datuk Zuraida Kamaruddin dan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof; Ketua Wanita Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun, dan seorang lagi Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.


Dalam pada itu Azmin berkata, beliau menzahirkan sokongan kepada Ismail Sabri untuk terus menerajui Kerajaan Perikatan Nasional.

“Datuk Seri Ismail akan terus ketuai Kerajaan PN, dan fokus kita kini untuk menangani masalah sedia ada seperti pandemik COVID-19, dan memacu semula pemulihan ekonomi,” komennya ringkas.