KUALA LUMPUR: Pakej Bantuan Ekonomi dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bakal menjadi tumpuan utama pada hari keempat Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat di laman rasmi Parlimen, perkara itu akan diperjelaskan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang juga Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula jam 10 pagi ini.

Ini disusuli sesi Ahli Parlimen mengemukakan persoalan, penjelasan lanjut dan cadangan sebelum dijawab menteri berkenaan.

Antara topik yang dijangka menjadi tumpuan adalah berkaitan lapan Pakej Rangsangan Ekonomi dengan nilai keseluruhan pakej RM530 bilion.

Ini membabitkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA PLUS) dan terbaru PEMULIH.

Empat pakej yang dilaksanakan tahun lalu pula membabitkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PSK), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (KITA PRIHATIN).

Selain itu, topik lain yang diberi tumpuan adalah Pelan Pemulihan Negara yang menjadi indikator kepada jalan keluar negara daripada era pandemik COVID-19.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 berlangsung selama lima hari, bermula Isnin lalu sehingga 29 Julai dan 2 Ogos.

Pada sidang khas itu, kesemua 220 Ahli Parlimen termasuk yang belum divaksin dibenarkan hadir ke Dewan Rakyat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, termasuk perlu menjalani ujian saringan COVID-19 serta memakai pelitup muka.