KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim kekal menyokong kerajaan negeri di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, pendekatan itu berbeza dengan tindakan yang dilakukan di peringkat Pusat dengan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Setakat ini, saya tidak membuat permohonan untuk tukar tempat duduk.

"Saya menunggu keputusan parti (Bersatu). Pada masa sama, saya masih belum dipanggil oleh jawatankuasa disiplin parti," katanya kepada pemberita.

Menurut beliau, cuma pertemuan secara peribadi sahaja bersama Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Mohd Azizi memberitahu, sepanjang persidangan beliau tidak membangkitkan perkara-perkara yang bercanggah dengan kerajaan negeri.

Beliau menghormati tindakan kerajaan negeri yang memberi ruang kepadanya untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

"Penerimaan daripada rakan-rakan, Alhamdulillah baik," ujarnya.

BACA: Sokong PM: 'Saya masih Ahli Parlimen PN' - Mohd Azizi

Pada 7 Nov lalu, media melaporkan, Mohd Azizi daripada Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasannya terbela selain terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan infrastruktur. - Sinar Harian