KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamad Hassan menegaskan sebarang keputusan mengenai status Muafakat Nasional (MN) iaitu kerjasama UMNO dan Pas hanya akan ditentukan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kelak.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, meskipun pelbagai pandangan dilontarkan sesetengah pihak mengenai status kerjasama di antara dua parti itu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, namun, pada akhirnya, hanya MKT akan membuat keputusan.

Dalam masa sama, Mohamad berkata, setiap pandangan dan nasihat akan dibincangkan di peringkat pucuk pimpinan sebelum keputusan dibuat.

"Biar parti (UMNO) buat keputusan… nasihat saya biar parti buat keputusan. Kepimpinan macam Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) telah menberikan pandangan, kita akan bincang dalam Mesyuarat Biro Politik UMNO.

"Kita akan bincang dalam Majlis Kerja Tertinggi, pandangan dan nasihat oleh Presiden parti dan pandangan lain. Sebab ini keputusan parti… biasalah itu orang nikah, kahwin dan cerai itu biasa," jelas beliau.

Mohamad berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Wacana Aspirasi UMNO bertajuk "Menggalas Perjuangan, Mendepani Cabaran" Sempena Ulang Tahun UMNO Ke-76 di Menara Dato Onn di sini, pada Rabu.

Menurut Mohamad, walaupun ada pemimpin UMNO yang mengeluarkan pendapat mengenai MN, namun, itu disifatkan sebagai pendapat peribadi mereka.

Dalam sidang media itu, Mohamad mengulangi penegasannyan agar tiada andaian dibuat sekali gus mengeruhkan lagi keadaan.

"Kita sudah sampai surah terakhir… tunggu nak khatam tetapi belum lagi, jadi kita akan buat keputusan di peringkat parti.

"Saya harap mana-mana individu baik daripada UMNO dan mana juga parti, biar parti buat keputusan. Jangan buat andaian, tidak usah kelam kabut, biar parti buat keputusan nanti," tegas beliau lagi.