KUALA LUMPUR : Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu parti itu diperkukuhkan semula terutama selepas apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata, semua anggota parti perlu muhasabah dan melakukan kritikan terhadap diri sendiri dan tidak hanya menuding jari hanya kepada seseorang individu.

"Dalam politik, dalam parti saya, yang menang tidak menang semua. Yang kalah tidak kalah semua. Parti mesti diperkukuh semula, apatah lagi kita telah terpukul dalam pilihan raya yang lalu. Hanya Allah yang selamatkan parti kita semula.

"Oleh itu, marilah kita muhasabah dan melakukan self-criticism tentang apa yang telah dilakukan dan bukan tuding jari kepada seseorang. Ramai yang bertanggungjawab.

"Saya amat tahu bahawa apa yang berlaku ialah harga mahal yang terpaksa kita bayar atas tidak adanya penyatuan pemikiran,"  katanya semasa program Naratif Khas bersama Timbalan Perdana Menteri yang disiarkan di TV1 pada malam Isnin.

Katanya, UMNO juga mempunyai objektif untuk menyatupadukan parti secara majoriti.

"Ia adalah lebih utama daripada melayani satu, dua gunting-gunting yang berada dalam lipatan untuk tidak pernah berhenti untuk menggunting agar lipatan itu berderai," ujarnya.

Justeru, kata Ahmad Zahid, dalam perkara itu UMNO melihat pendekatan-pendekatan secara holistik dengan mengutamakan penyantunan selain kebijaksanaan politik.