Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyerahkan permohonan untuk mendaftar parti baharu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Muhyiddin yang ditemui pemberita selepas menyerahkan borang permohonan pendaftaran parti mengumumkan nama parti baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang terbuka kepada semua warganegara.

"Selaras dengan jaminan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri bahawa permohonan kami akan diberi pertimbangan dan diluluskan maka saya berharap permohonan parti (Bersatu) ini akan mendapat kelulusan dengan seberapa segera daripada pihak pertubuhan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan borang permohonan kepada ROS di sini, hari ini.


Muhyiddin tiba di ibu pejabat ROS sekitar jam 3.15 petang bagi menyerahkan borang permohonan pendaftaran parti sebelum keluar 40 minit kemudian.

Tambah beliau, keahlian parti terbuka kepada golongan bumiputera namun golongan bukan bumiputera boleh mendaftar sebagai ahli bersekutu.

"Keahlian Bersatu adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia berstatus pribumi Melayu termasuk Orang Asli dan anak negeri Sabah dan Sarawak seperti yang ditakrifkan di dalam perlembagaan Malaysia, perlembagaan negeri dan undang-undang negara.

"Selain itu, keahlian parti terbuka warganegara Malaysia yang lain sebagai ahli bersekutu. Mereka mempunyai hak yang sama dengan ahli biasa kecuali mengundi atau bertanding mana-mana jawatan dalam parti. Bersatu bersikap inklusif, dinamik progresif dan sikap sentiasa terbuka. Kita mempunyai agenda memelihara hak dan kebajikan setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama," katanya.


Logo Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
Muhyiddin akan berperanan sebagai presiden parti, manakala bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai pengerusi.

Tun Mahathir bagaimanapun tidak dapat hadir pada sesi pendaftaran hari ini kerana difahamkan beliau sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

Sementara itu menurut pemimpin kumpulan belia, Challenger, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tujuh nama telah dihantar kepada ROS sebagai proses awal sebelum jawatankuasa penuh parti dibentuk selepas pendaftaran diluluskan.

BACA: Muhyiddin bakal daftar parti baharu hari ini

Selain Muhyiddin dan Dr Mahathir, kumpulan ahli pertama parti itu adalah anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga bekas Menteri Besar Kedah dan bekas pemimpin Wanita UMNO Langkawi, Anina Saadudin.

Selain itu, presiden Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) Kamarul Azman Habibur Rahman, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi iaitu anak lelaki bekas setiausaha agung UMNO Tan Sri Sanusi Junid dan Syed Saddiq turut menjawat jawatankuasa parti berkenaan.

Sebelum ini, Dr Mahathir mengesahkan bahawa beliau akan menjadi pengasas sebuah parti politik baru yang akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk memastikan pertandingan satu lawan satu menentang parti pemerintah BN dalam pilihan raya umum akan datang.