Muhyiddin nafi tuduhan simpan wang parti di rumah

Muhyiddin menegaskan tuduhan itu tidak berasas dan dituduh berdasarkan maklumat palsu dari pihak tidak bertanggungjawab. - Gambar fail/Sinar Harian
SHAH ALAM: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sebuah video yang tular mendakwa beliau mencuri wang parti dan menyimpannya di rumah.
Ringkasan AI
- Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan tuduhan bekas PM, Tun Dr Mahathir, mengenai dakwaan mencuri wang parti dan menyimpannya di rumah.
- Muhyiddin menegaskan tuduhan itu tidak berasas dan dituduh berdasarkan maklumat palsu dari pihak tidak bertanggungjawab.
- Meskipun diserang, Muhyiddin menunjukkan penghormatan kepada Dr Mahathir dan tidak berniat untuk membawa beliau ke mahkamah berhubung isu tersebut.
"Saya tidak pernah mencuri wang parti. Semua sumbangan kepada parti dimasukkan ke dalam akaun parti yang diurus secara telus oleh Bendahari Agung.
"Dakwaan sedemikian dibuat berkemungkinan kerana beliau mendapat maklumat yang tidak benar daripada pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.
Pada pagi Jumaat, satu klip berdurasi dua minit tular di WhatsApp yang memaparkan Dr Mahathir didakwa menuduh Muhyiddin mencuri wang parti ketika pertemuan Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada) Johor bersama bekas Ahli Parlimen Langkawi itu di Putrajaya pada awal minggu ini.
Video tersebut turut disertakan kapsyen yang mendakwa bekas Dr Mahathir membongkar kononnya Muhyiddin mahu menjadi Perdana Menteri kerana takut dipenjarakan.
Dalam rakaman itu, Dr Mahathir kedengaran berkata seseorang 'ada masalah' dan 'mahu jadi Perdana Menteri bukan untuk berkhidmat' tetapi kerana bimbang masuk penjara.
Mengulas lanjut, Muhyiddin menegaskan, sebagai seorang negarawan, sepatutnya Dr Mahathir mendapatkan penjelasan daripada beliau terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan terhadapnya.
"Dalam banyak pertemuan saya dengannya, beliau tidak pernah membangkitkan perkara ini di hadapan saya. Maka adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah ke atas diri saya.
"Bagaimanapun saya tetap menghormati Dr Mahathir sebagai orang tua. Saya sendiri telah menyokong usaha-usaha beliau untuk mewujudkan perpaduan orang Melayu dan hubungan kami adalah akrab," ujarnya.
Justeru, kata Muhyyidin beliau tidak berhasrat untuk mengheret Dr Mahathir ke mahkamah berhubung isu tersebut. -- Sinar Harian


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

