Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru kepada seluruh anggota parti agar tidak membiarkan perbezaan pendapat dan ketidaksefahaman mencemar keharmonian parti.

Perdana Menteri berkata sesuatu isu itu perlu diselesaikan secara matang dan berhemah.

"Sehingga kini, UMNO terus menjuarai perjuangan membela untung nasib Melayu dan Bumiputera. Dalam perjalanan 70 tahun ini, sudah tentu parti ini tidak dapat lari daripada ujian dan cabaran.

"Ada yang memilih untuk tidak bersama UMNO dan membentuk parti baharu, dan ada juga yang memilih untuk keluar masuk UMNO mengikut kehendak diri dan keadaan.

"Tetapi tidak mengapa, UMNO hormati keputusan mereka. Hal ini tidak sesekali mematahkan semangat juang UMNO malah mematangkan lagi kita semua," katanya dalam catatan terbaharu bertajuk 'UMNO 70 Tahun' dalam blognya www.najibrazak.com pada Rabu.

Dalam meniti usia kematangan bersempena dengan ulang tahun ke-70 UMNO, Najib mengajak seluruh anggota parti agar bersama-sama berdoa supaya perjuangan parti keramat ini terus diberkati Allah SWT.

"Insya-Allah, saya yakin selagi mana UMNO berdiri teguh, selagi itu orang Melayu akan terus kekal sejahtera dan membangun di bumi bertuah Malaysia ini. Selamat ulang tahun ke-70, UMNO," katanya.

Beliau berkata dalam tempoh 70 tahun ini, rakyat telah melalui pelbagai dugaan dan kejayaan bersama.

Katanya UMNO bermula dengan perjuangan mulia, melakukan desakan kepada kerajaan British untuk memansuhkan Malayan Union seterusnya membentuk Persekutuan Tanah Melayu.

"Peristiwa ini merintis laluan ke arah kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957," katanya.