SHAH ALAM: Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohd Nazifuddin menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan parti akan datang.

Mohd Nazifuddin yang merupakan ahli UMNO Bahagian Langkawi berkata, beliau ingin membantu sayap itu bagi menarik golongan muda agar dapat bersama-sama memperkukuhkan perjuangan parti.

"Sebagai salah seorang ahli dalam persatuan sukan, saya merasakan ia satu kelebihan bagi saya untuk mendampingi golongan muda seterusnya mendorong mereka untuk bersama kita.

"Saya turut ingin menyumbangkan kudrat dalam memartabatkan kegiatan sukan, mencungkil bakat dan kemahiran, meninggikan taraf ekonomi serta kepelbagaian aktiviti berfaedah untuk golongan muda," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau turut menyedari cabaran besar yang dihadapinya adalah bagi menarik minat sokongan golongan muda kepada UMNO.

"Maka itu, saya bersedia mendepani perkara utama ini. Keutuhan berpasukan, persepaduan dan kesepakatan dalam setiap gerak kerja amatlah diperlukan.

"Sebagai ahli parti, sudah pasti ini elemen utama yang menjadi intipati didikan pada diri saya," ujarnya.

Selain itu katanya, jika diberi peluang menjawat jawatan itu, beliau mahu memfokuskan kepada golongan pengundi baharu lepasan sekolah agar mereka dapat membantu UMNO untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. -Sinar Harian