KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan ahli perniagaan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee tiada dalam rekod keanggotaan parti berkenaan.
Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh berkata pengesahan dibuat selepas semakan rasmi dijalankan menerusi Sistem Keanggotaan KEADILAN.
Beliau berkata semakan itu dilaksanakan susulan berita dan gambar yang tular mengaitkan Liow dengan parti berkenaan.
"Semakan juga mendapati beliau tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan untuk menjadi anggota parti," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular satu hantaran melalui media sosial memaparkan gambar Liow memakai baju Angkatan Muda Keadilan (AMK), sekali gus mencetuskan dakwaan kononnya ahli perniagaan itu merupakan ahli parti berkenaan.
Sebelum ini, Liow didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas disyaki terlibat dengan sindiket jenayah terancang “Geng Nicky” dan pengubahan wang haram.
-- BERNAMA