POLITIK
Nik Nazmi kekal keputusan letak jawatan

Nik Nazmi bertemu Shareen ketika mengemas pejabatnya minggu lalu. - Gambar/ FB Nik Nazmi Nik Ahmad
KUALA LUMPUR: Nik Nazmi Nik Ahmad mengekalkan pendiriannya untuk meletak jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, walaupun Perdana Menteri masih memberi peluang kepadanya untuk meneruskan tugas.
Ringkasan AI
- Nik Nazmi Nik Ahmad tetap dengan keputusan meletak jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam walaupun Perdana Menteri masih memberi peluang untuk beliau kekal.
- Beliau menyatakan keputusan itu dibuat atas pertimbangan lebih besar demi mandat parti dan reformasi, serta menggambarkan keputusannya dengan petikan kata-kata Jurgen Klopp.
- Nik Nazmi mengakui sukar meninggalkan kementerian yang dianggap sebagai dream team selepas dua tahun berkhidmat, namun yakin keputusan itu adalah yang terbaik.
"Mandat parti adalah penting untuk reformasi luas.
"Memang saya ada pilihan untuk kekal, tapi pilihan saya adalah untuk letak jawatan," katanya menerusi Facebook pada Selasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin memaklumkan bahawa tempoh cuti bekas Naib Presiden PKR itu akan tamat dalam minggu ini. Namun, beliau menjelaskan bahawa tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini dan kerajaan masih memberi ruang kepada Nik Nazmi untuk menyambung tugasnya.
Dalam hantaran sama, Nik Nazmi turut memetik kata-kata Jurgen Klopp ketika mengumumkan pengunduran sebagai pengurus Liverpool.
"Saya benar-benar suka segala-galanya tentang kelab ini... Saya suka kakitangan... Tetapi saya masih mengambil keputusan ini... menunjukkan kepada anda bahawa saya yakin ia adalah keputusan yang perlu saya ambi," katanya.
Beliau terdahulu turut berkongsi mengenai pertemuannya bersama Pengerusi Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC), Shareen Abdul Ghani ketika mengemas pejabatnya minggu lalu.
"Selepas kami duduk di sofa Pejabat Menteri, beliau bertanya, ‘Ada peluang lagi kami yakinkan YB untuk ubah fikiran?'
"Saya cuma tersenyum dan memandang ke sekeliling pejabat. Shareen mengikut pandangan mata saya - melihat rak-rak kosong yang sebelum ini sarat dengan buku, dinding-dinding kosong yang pernah digantung pelbagai gambar, lukisan (dan jersi).
"Saya menyatakan bukan mudah untuk meninggalkan NRES. Selepas dua tahun, saya anggap pasukan di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), jabatan dan agensi dah mencapai tahap 'dream team' - dengan komitmen, kebolehan dan kewibawaan yang luar biasa," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami