GOMBAK: Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar membuat kejutan apabila hadir di Majlis Silaturrahmi Aidilfitri anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham di Taman Selaseh Fasa 2 di sini pada Sabtu.

Beliau tiba pada jam 12 tengah hari ditemani anaknya, Nurul Syazwani dan disambut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Kehadiran Noh mencetuskan tanda tanya tentang kemungkinan beliau menyertai PN, namun usaha media bagi mendapatkan kesahihan tersebut tidak berjaya selepas beliau enggan ditemu bual.

Mohamed Azmin ketika ditanya berkenaan perkara tersebut meminta perkara itu disahkan sendiri oleh Noh.
Mohamed Azmin bagaimanapun berkata, PN juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sentiasa membuka pintu kepada individu yang komited menerima idealisme perjuangan parti tersebut.

"Dalam suasana politik semasa, kita perlu dokongan daripada semua pihak. Saya percaya beliau punya pengalaman luas dalam perjuangan.

"Memang betul sebelum ini beliau bersama UMNO. namun beliau merupakan seorang tokoh yang berani menegur kepincangan dan kecurangan di dalam parti tersebut.

"Apa langkah seterusnya, kita serahkan kepadanya dan kita bersedia menerima sesiapa yang ingin bersama PN, " katanya ditemui pada majlis itu.

Turut hadir pada majlis tersebut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan yang juga bekas Ketua UMNO Hulu Selangor.

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Mohamed Azmin berkata, rundingan pembahagian kerusi DUN Selangor hampir selesai dan telah mencapai kata sepakat antara gabungan parti dalam PN.

"Beberapa siri perbincangan di peringkat parti anggota PN telah diadakan dan saya telah membentangkan laporan tersebut kepada pimpinan Pusat melalui dua pertemuan sebelum Aidilfitri.

"Pimpinan negeri hanya mengemukakan pandangan setelah dimuafakati anggota-anggota PN, dan kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan muktamad," katanya.

Katanya, jumlah kerusi yang akan ditandingi akan diumumkan pada masa yang sesuai. -- Sinar Harian