Cadangan pembentukan pakatan pembangkang baharu oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hanya membuktikan bahawa rakyat telah hilang kepercayaan dengan Pakatan Harapan, kata Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang.

Pakatan pembangkang baharu itu akan turut membawa kepada penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin de facto Pembangkang.

Pada masa yang sama katanya Pemuda Gerakan mengalu-alukan pembentukan pakatan pembangkang baharu bersama parti baharu seperti yang dumumkan Tun Mahathir sebelum ini.

"Pada tahun 1998, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai bekas Perdana Menteri telah menyingkirkan Datuk Seri Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, yang juga membawa kepada penyingkirannya dari Barisan Nasional (BN).

"Selepas 18 tahun, ia kelihatan seperti pembentukan pakatan pembangkang baharu oleh Tun Mahathir sekali lagi akan membawa kepada penyingkiran Anwar Ibrahim, tetapi kali ini sebagai pemimpin de facto pemimpin. Ini sudah tentu tidak dapat dibayangkan pada tahun 1998," kata Tan dalam satu kenyataan hari ini.

Tan juga meminta Tun Mahathir untuk menetapkan piawaian baharu bagi Pembangkang.

Pada Khamis, Dr Mahathir mengumumkan bahawa beliau akan bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin Pembangkang untuk membentuk sebuah parti baharu.

Selain parti baharu yang bakal ditubuhkan, gabungan itu akan menampilkan DAP, PKR dan Parti Amanah Negara.

Ia ditubuhkan dengan tujuan menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Bekas perdana menteri itu berkata, gabungan baru itu akan beroperasi sebagai sebuah entiti tunggal melawan Barisan Nasional.

BACA: Bentuk parti baharu bukti parti pembangkang tidak terima Tun M, kata Nazri Aziz

BACA: BN, UMNO tidak khuatir dengan penubuhan parti baharu oleh Dr Mahathir

BACA: PAS tidak terburu-buru sertai pakatan pembangkang diketuai Dr Mahathir

Pada Ahad, bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menafikan penglibatan beliau dalam parti baharu yang akan dibentuk oleh Tun Mahathir selepas namanya tersenarai antara kepimpinan tertinggi parti itu nanti yang menjadi viral melalui media sosial, termasuk Facebook dan Twitter.

Senarai kepimpinan parti politik baharu yang dijangka akan ditubuhkan oleh Dr Mahathir itu antara lain, menamakan penglibatan bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas naib presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.