Skip to main content

Politik

Parti ditubuh untuk sokong pemimpin tidak akan bertahan lama - Noh Omar

71436750169_NohOmar.jpg
Penubuhan sesebuah parti politik baharu perlulah bertujuan memperjuangkan keadilan sesuatu bangsa dan agama dan bukannya untuk menyokong seseorang pemimpin, kata anggota Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata asas bagi sesuatu parti yang kuat adalah prinsip-prinsip parti yang dibawa dan parti yang hanya menjaga kepentingan seseorang pemimpin, dipercayai tidak akan bertahan lama.

Noh berkata berbeza dengan UMNO, parti keramat itu ditubuhkan bukan kerana bermotifkan kepimpinan, namun bagi menyokong perjuangan parti sendiri.

"Kita kena ingat dalam UMNO bukan kerana pemimpin tapi perjuangan kita.

"Contohnya Parti Amanah Negara ditubuhkan kerana kumpulan ini kalah dalam majlis tertinggi PAS. Kalau parti ditubuhkan untuk sokong pemimpin, saya lihat dalam sejarah kita parti ini tidak akan bertahan lama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Sik di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan penubuhan parti baharu oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa bekas pemimpin UMNO yang dipecat antaranya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata cadangan penubuhan parti baharu itu diyakini tidak sama sekali akan jejaskan kekuatan UMNO dan apa yang paling penting sekarang ialah anggota UMNO beri sokongan padu kepada parti dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kekuatan kita tidak boleh bergantung kepada pihak lawan tapi bergantung dalam pasukan kita, walaupun hari ini kita tengok parti pembangkang mempunyai banyak masalah, kita tidak boleh jadikan itu sebagai kekuatan kita.

"Sebaliknya kita kena bina sendiri kekuatan kita. Kalau berlaku perpecahan dalam kalangan pembangkang, bagi saya itu bonus," katanya.

Mengulas ura-ura Muhyiddin bakal dilantik menjadi presiden kepada parti baharu itu, Noh berkata dalam politik tiada musuh dan kawan yang kekal.

"Mana kita boleh fikir (Tun) Mahathir akan bersalam dengan Lim Kit Siang dan (Datuk Seri) Hadi Awang.

"Parti DAP, PAS, PKR kalau menang siapa nak jadi perdana menteri, kalau kita (UMNO) ada satu pemimpin sahaja iaitu Najib," katanya.

Advertisement

Must Watch Video