HAT YAI: Krisis tebusan di sebuah sekolah di wilayah Songkhla, selatan Thailand, berakhir selepas pihak berkuasa menembak mati seorang lelaki bersenjata yang sebelum itu membunuh pengetua sekolah dan menawan murid serta guru sebagai tebusan.
Insiden berlaku di Patong Prathan Kiriwat School di daerah Hat Yai, menurut laporan media tempatan.
Advertisement
Menurut pihak keselamatan, suspek — dipercayai remaja berusia sekitar 18 tahun — memasuki kawasan sekolah sambil membawa senjata api jenis M4 sebelum melepaskan tembakan secara rambang, mencederakan beberapa guru dan murid.
Seorang pengawal keselamatan yang terselamat mendakwa pengetua sekolah ditembak terlebih dahulu sebelum suspek menahan pelajar serta kakitangan di dalam bangunan sekolah.
Ratusan murid dilihat melarikan diri dalam keadaan panik, manakala pasukan khas polis mengepung sekolah dan memulakan usaha rundingan.
Namun, suspek kekal bersembunyi bersama tebusan selama beberapa jam, memaksa pasukan operasi khas melancarkan serbuan selepas situasi dilihat semakin berbahaya.
Suspek akhirnya ditembak mati, sekali gus menamatkan krisis tebusan itu.
Pihak berkuasa Thailand mengesahkan beberapa orang cedera, termasuk seorang guru yang ditembak dan dikejarkan ke hospital.
Motif serangan masih dalam siasatan, namun laporan awal menyebut suspek bertindak agresif di rumah berhampiran sebelum memasuki sekolah dan memulakan serangan.