Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berharap penubuhan parti baharu berasaskan golongan muda oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dapat memberi isyarat kepada UMNO untuk berubah dan bersaing.

Bekas ketua Pemuda Umno tersebut menyambut baik penubuhan parti-parti baharu seperti digerakkan oleh Ahli Parlimen Muar itu kerana ia sebahagian sistem demokrasi negara.

“Ia memberikan pilihan kepada golongan muda... sama ada mereka ingin diwakili parti baharu ataupun parti sedia ada.

“Saya melihatnya sebagai perkembangan yang sihat dan positif kerana ia memberi persaingan kepada kami (UMNO), parti yang lama di Malaysia (grand old party)... sebagai contoh parti saya UMNO.

“Dengan adanya parti baharu, maka ia mungkin menghantar isyarat kepada rakan-rakan saya dalam parti lama Malaysia,” kata Khairy pada sidang media selepas melancarkan Geran Padanan Impak Sosial di Pusat Sains Negara, Bukit Damansara pada Jumaat.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.

Mengulas lanjut, katanya parti lama tidak akan mendapat sokongan daripada golongan muda sekiranya tidak dapat bersaing dengan parti baharu.

“Saya melihat ini sebagai positif dan mungkin boleh mempercepatkan lagi proses peremajaan dalam parti lama saya ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata tidak berhasrat untuk menyertai parti khusus untuk golongan muda yang ingin ditubuhkan Syed Saddiq itu, sekiranya dijemput.

“Saya sudah sebut parti saya (UMNO) yang tua ini, maka saya kekal dalam parti saya,” ujarnya.

Baru-baru ini, Syed Saddiq mengesahkan tidak akan menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

BACA: Parti Syed Saddiq tidak akan berjaya - Dr Mahathir



BACA: "Terima kasih Tun" - Syed Saddiq terbuka terima kritikan Dr Mahathir

BACA: Asyraf Wajdi pelawa Syed Saddiq masuk UMNO


Bekas ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata beliau akan menubuhkan sebuah parti politik baharu.

Jelasnya, parti baharu itu akan disertai oleh pelbabagi kaum dengan memberi fokus kepada golongan anak muda.

Memetik laporan Malaysiakini, parti baharu tersebut akan dipanggil ‘Muda Malaysia’.