Skip to main content

Politik

Parti politik jangan sekadar bergabung, perlu tampil manifesto baharu - Penganalisis

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri
Ahmad Zaharuddin menegaskan, gabungan politik hanya bermakna sekiranya mampu menawarkan idea, dasar dan pendekatan baharu kepada rakyat. - Gambar Sinar Harian
Advertisement

KUALA LUMPUR: Gabungan parti politik yang dibentuk perlu mempunyai manifesto baharu supaya rakyat mengetahui komitmen yang akan dilaksanakan oleh kerajaan.

Penganalisis politik, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan pembentukan gabungan dijadikan alasan untuk tidak melaksanakan manifesto yang dijanjikan kepada pengundi.

“Ketika hari pertama gabungan itu diwujudkan, saya hendak adanya satu garis bahawasanya ini yang mereka akan lakukan sebagai kerajaan.

“Maka kita boleh menilai sejauh manakah keberkesanan kerajaan yang dibentuk tersebut,” katanya semasa Buletin AWANI Khas hari ini.

Menurut Ahmad Zaharuddin, manifesto baharu itu juga perlu disertakan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi membolehkan rakyat menilai sejauh mana kerajaan memenuhi komitmen yang dijanjikan.

"Kalau KPI itu tidak tercapai, maknanya memang tidak tercapai dan mereka tidak boleh lagi duduk dalam satu pasukan. Maka selepas ini, janganlah duduk dalam satu pasukan lagi,” katanya.

Tambahnya, pembentukan gabungan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak melaksanakan manifesto asal tanpa menawarkan komitmen baharu kepada rakyat.

Dalam pada itu, Ahmad Zaharuddin menegaskan, gabungan politik hanya bermakna sekiranya mampu menawarkan idea, dasar dan pendekatan baharu kepada rakyat.

“Kalau yang ditawarkan itu adalah perkara-perkara yang lama, klise. Nak buat apa? Kita nak carilah sesuatu yang baru dalam suasana baru ini kalau gabungan itu berlaku,” katanya.

Ahmad Zaharuddin turut mengulas perbezaan landskap politik antara kerajaan negeri dan Persekutuan yang tidak semestinya berada dalam gabungan atau pendirian politik yang sama.

Beliau turut berpandangan, perbezaan pentadbiran antara kerajaan negeri dan Persekutuan mampu mewujudkan semak dan imbang yang lebih berkesan.

Menurutnya, keadaan itu mengelakkan pentadbiran daripada menjadi "pak angguk" selain memastikan suara rakyat terus dibawa ke peringkat lebih tinggi.

“Perbezaan pandangan ini bagi saya cukup baik untuk memastikan pembangunan negara kerana kita ada semak dan imbang,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement