Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan semua parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum India untuk bersatu hati agar sokongan masyarakat itu kepada kerajaan dapat ditingkatkan terutama pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sokongan padu masyarakat India terhadap kerajaan akan memudahkan lagi usaha membantu kaum tersebut khususnya menerusi Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB).

Jelas beliau, ini juga bertujuan untuk menapis serta menghentikan pengaruh dan lontaran kenyataan yang berbaur negatif daripada pihak pembangkang.

"Pembangkang akan datang lima tahun sekali mengatakan semua yang dilakukan oleh kerajaan tidak baik.

"Saya percaya, walaupun pembangunan meningkat di Bagan Datuk dengan terbinanya MRSM (Maktab Rendah Sains Mara), Kolej Komuniti, Politeknik, kompleks sukan, mereka akan tetap cakap ini tidak bagus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Program Ramah Mesra Padu Bersama Masyarakat India DUN Rungkup sempena sambutan Ponggal di Batu 25 di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya serta Pengerusi MIC Perak, Datuk V Elango.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, apabila pembangkang kembali ke tempat masing-masing, senario sama akan berlaku saban tahun apabila pemimpin daripada kerajaan pula yang akan ditemui untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Katanya, kerajaan komited untuk terus berusaha membantu masyarakat India menerusi pelbagai cara dan perkara tersebut dilihat sukar untuk direalisasikan sekiranya mereka tidak bersatu hati dan berpecah belah.

Beliau juga memberi contoh, apabila penduduk tidak berkemampuan untuk membeli kelengkapan persekolahan, kerajaan akan membantu mereka termasuk mendapatkan penaja daripada syarikat swasta untuk memberikan sumbangan.

"Kenapa harus mendengar cakap pembangkang yang hanya datang lima tahun sekali dan mengatakan semua perkara tidak baik?

"Kita (pemimpin kerajaan) tidak minta dipuji tetapi jangan mengutuk kerana kita bekerja untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama," katanya.