KUALA LUMPUR: Tidak ada parti yang lebih berpengalaman dalam menjalin kerjasama politik di negara ini selain Pas, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Tuan Ibrahim, sejarah menunjukkan semasa melakukan kerjasama politik, Pas ialah sebuah parti yang sanggup bertolak ansur terhadap hal-hal yang mungkin tidak boleh diterima oleh parti lain untuk dikompromi.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, Pas pernah menyerahan kerusi Parlimen Kuala Terengganu kepada Presiden Parti Negara, Onn Jaafar selepas pengasas UMNO itu meninggalkan parti asalnya.

“Kita punya pengalaman panjang dalam politik negara dan saya tengok tidak ada parti yang ada pengalaman muafakat politik sehebat Pas.

"Kita boleh sanggup kompromi luar biasa, yang jarang orang lain sanggup kompromi sedemikian," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia kali ke-62 di Port Dickson, Negeri Sembilan pada Sabtu.

Tuan Ibrahim menjelaskan, Pas juga pernah bekerjasama dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah apabila ahli politik terbabit meninggalkan UMNO lalu menubuhkan Parti Semangat 46.

“Bahkan dengan parti-parti lainlah.... nak sebut (namanya) pun geram,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada tahun 1999 hingga 2001, Pas membentuk kerjasama politik dengan DAP dan PKR melalui pembentukan Barisan Alternatif sebelum gabungan itu dibubarkan ekoran DAP menarik diri.

Kerjasama tiga parti itu kembali terjalin melalui Pakatan Rakyat dari 2008 hingga 2015 sebelum gabungan tersebut berkubur ekoran pertentangan pendapat yang ketara di antara Pas dan DAP dalam isu hudud.