PAS bersedia untuk meletakkan calonnya di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang berlangsung awal.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata walaupun tidak bersama dalam parti pembangkang lain dalam Pakatan Harapan, parti itu akan bertanding bersendirian.

Ini kerana PAS yakin mempunyai kekuatan dan mendapat sokongan dari akar umbi yang boleh membantu calon dari parti itu untuk menang.

“Kita ada sejarah di Pulau Pinang, kita ditubuhkan di Pulau Pinang, asal di Pulau Pinang, kekuatan di Pulau Pinang, bahkan DAP, PKR kena sedar mereka bergantung dengan cawangan-cawangan kita di akar umbi.

“Kalau kita tak ada kerusi, kita ada akar umbi di Pulau Pinang dan dalam pilihan raya tahun 1979, ketika Kelantan jatuh dua kerusi kita ada. Satu kerusi Parlimen di Pulau Pinang ada DUN di Pulau Pinang,” kata beliau ketika hadir pada majlis rumah terbuka Aidilfitri PAS Pusat di Kompleks Pas Kedah, di Kota Sarang Semut, di sini siang tadi.

Datuk Seri Abdul Hadi berkata pihaknya akan berbincang dan melakukan proses pembahagian kerusi DUN kepada calon yang layak sekiranya tarikh pilihan raya di negeri itu diumumkan oleh pihak bertanggungjawab nanti.