PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) hanya mengadakan perbincangan awal mengenai pelaksanaan hudud selepas kedua-dua parti itu menjalinkan permuafakatan baru-baru ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kedua-dua parti itu belum membincangkan dengan terperinci mengenai hudud.

"Perbincangan (masih) secara umum kerana baru ditubuhkan (permuafakatan PAS-Ikatan), belum terperinci lagi. Isu hudud adalah isu undang-undang... mesti dibetulkan konsep sistem kehakiman terlebih dahulu," katanya selepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-65 PAS di Dewan Kompleks PAS di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal yang memetik Presiden Ikatan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir sebagai berkata bahawa Ikatan dan PAS sependapat yang hukum hudud belum sesuai dilaksanakan di Malaysia.

Rabu lepas, PAS mengumumkan penubuhan permuafakatan baharu bersama Ikatan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.