Skip to main content

Malaysia

Angkatan tentera ASEAN perlu perkukuh keupayaan tangani ancaman siber, maklumat - Mohamed Khaled

Mohamed Khaled berkata kemajuan teknologi sedang mengubah operasi ketenteraan manakala cabaran keselamatan yang muncul dan bersifat bukan tradisional. - Gambar fail/Bernama
Mohamed Khaled berkata kemajuan teknologi sedang mengubah operasi ketenteraan manakala cabaran keselamatan yang muncul dan bersifat bukan tradisional. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

MELAKA: Angkatan tentera negara-negara ASEAN perlu memperkukuh keupayaan dan tahap kesiapsiagaan bagi menangani cabaran keselamatan yang semakin kompleks, khususnya ancaman siber serta maklumat yang merentasi sempadan negara, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata kemajuan teknologi sedang mengubah operasi ketenteraan manakala cabaran keselamatan yang muncul dan bersifat bukan tradisional, termasuk bencana alam, mewujudkan tuntutan baharu terhadap angkatan tentera serta memerlukan kerjasama lebih erat dalam kalangan negara anggota ASEAN.

“Teknologi sedang mengubah cara angkatan tentera kita beroperasi. Ancaman siber dan maklumat merentasi sempadan negara,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Multilateral Ketua-Ketua Tentera Darat ASEAN (ACAMM) ke-27 dan Mesyuarat Tahunan Sarjan Mejar ASEAN (ASMAM) ke-14 2026 di sini hari ini.

Advertisement

Mohamed Khaled berkata tiada negara yang boleh mengelak daripada terkesan oleh perkembangan yang berlaku di luar sempadannya manakala angkatan tentera tidak boleh hanya membuat persediaan untuk menghadapi cabaran yang sudah difahami.

Beliau berkata mesyuarat tahun ini yang bertemakan Fostering Collective Preparedness among ASEAN Land Forces for a Stable and Secure Region tepat pada masanya memandangkan cabaran keselamatan serantau semakin memerlukan negara-negara untuk bekerjasama.

Advertisement

Mohamed Khaled berkata kesiapsiagaan bersama bukan sekadar memperkukuh keupayaan pertahanan setiap negara, sebaliknya tindak balas berkesan terhadap cabaran tertentu bergantung pada persefahaman, komunikasi berkesan dan kesediaan untuk bekerjasama.

Beliau bagaimanapun berkata kesiapsiagaan bersama tidak bermaksud setiap negara perlu mengamalkan pendekatan yang seragam atau mengkompromikan kedaulatan negara, sebaliknya memastikan hubungan, persefahaman dan mekanisme praktikal telah diwujudkan apabila kerjasama diperlukan.

“Ini adalah kerana kesiapsiagaan kolektif tidak boleh dibina ketika krisis berlaku. Sebaliknya, ia perlu dibina jauh lebih awal sebelum krisis melanda,” katanya.

Mohamed Khaled berkata angkatan tentera darat ASEAN telah membina asas yang kukuh menerusi penglibatan profesional, latihan bersama, latihan ketenteraan dan pelbagai bentuk kerjasama ketenteraan selama bertahun-tahun, yang memperkukuh hubungan serta kepercayaan profesional dalam kalangan tentera negara yang mengambil bahagian.

Beliau berkata kerjasama sedemikian perlu terus bersifat praktikal dan relevan dengan cabaran yang berkemungkinan dihadapi oleh angkatan tentera, selain melengkapi mekanisme ASEAN sedia ada.

Menurut Mohamed Khaled, ACAMM menyediakan platform penting kepada ketua-ketua tentera darat ASEAN untuk bertukar-tukar pandangan mengenai usaha memperkukuh kesiapsiagaan angkatan tentera darat dalam persekitaran keselamatan yang semakin kompleks.

Mohamed Khaled turut menekankan peranan sarjan mejar dalam menterjemahkan hala tuju strategik kepada tindakan di lapangan menerusi usaha mengekalkan standard, disiplin, pembangunan anggota tentera dan kesiapsiagaan operasi.

Beliau berkata kestabilan serantau yang berkekalan tidak dapat dicapai oleh mana-mana negara secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kepercayaan, dialog berterusan, saling menghormati dan kesediaan untuk bekerjasama.

Menteri Pertahanan itu berkata keupayaan ketenteraan, profesionalisme dan kesiapsiagaan seharusnya berfungsi sebagai instrumen untuk mengekalkan keamanan serta mencegah konflik, bukannya sebagai pameran kekuatan.

“Tujuan angkatan tentera bukanlah untuk melancarkan peperangan atau mencetuskan konflik, sebaliknya memastikan konflik tidak menjadi satu keperluan dan sentiasa dapat dicegah," katanya.

Beliau menegaskan semula komitmen Malaysia untuk bekerjasama dengan semua negara anggota ASEAN bagi memperkukuh kerjasama dan kesiapsiagaan bersama dalam kalangan angkatan tentera darat mereka ke arah memastikan rantau ini kekal stabil, selamat dan makmur.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement