Skip to main content

Dunia

Kesatuan pelajar Perancis cabar sekatan terhadap protes pelajar

Polis Paris telah melarang perhimpunan dan perarakan tanpa pemberitahuan dalam lingkungan 100 meter dari 10 sekolah menengah dan lima kawasan universiti di ibu negara itu. - AP
Polis Paris telah melarang perhimpunan dan perarakan tanpa pemberitahuan dalam lingkungan 100 meter dari 10 sekolah menengah dan lima kawasan universiti di ibu negara itu. - AP
Advertisement

ISTANBUL: Kesatuan Kebangsaan Pelajar Perancis (UNEF) pada Isnin memfailkan permohonan semakan kehakiman segera terhadap sekatan perhimpunan dan perarakan berhampiran sekolah serta kawasan universiti di wilayah Paris, dengan alasan langkah itu mencabuli kebebasan bergerak, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik penyiar BFMTV.

Permohonan itu mencabar arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa polis Paris yang melarang perhimpunan dan perarakan tanpa pemberitahuan dalam lingkungan 100 meter dari 10 sekolah menengah dan lima kawasan universiti di ibu negara itu, bermula Isnin hingga Jumaat.

Menurut pihak berkuasa polis Paris, satu arahan berasingan turut melarang perhimpunan dalam lingkungan 100 meter dari sekolah tertentu di wilayah pentadbiran Val-de-Marne, Hauts-de-Seine dan Seine-Saint-Denis.

Advertisement

Pihak berkuasa mempertahankan sekatan itu dengan merujuk kepada insiden berulang dan tindakan menyekat akses berhampiran sekolah serta institusi pengajian tinggi di Paris dan kawasan pinggir bandarnya.

Peguam UNEF, Chirinne Ardakani, menyifatkan langkah berkenaan sebagai “pencabulan jelas terhadap kebebasan bergerak” ketika memberikan ulasan kepada penyiar Franceinfo.

Advertisement

Mahkamah pentadbiran dijadual meneliti permohonan itu pada petang Isnin.

Kesatuan pelajar itu turut mengkritik arahan berkenaan kerana tidak menjelaskan secara terperinci takrif perhimpunan atau bilangan individu yang diperlukan untuk sesuatu perhimpunan dianggap melanggar larangan tersebut.

Pihak berkuasa wilayah memaklumkan bahawa 25 sekolah menengah di wilayah Ile-de-France mengalami gangguan pada Isnin, berbanding kira-kira 40 sekolah pada Jumaat.

Mereka turut melaporkan kira-kira 30 insiden melibatkan penggunaan bunga api jenis mortar, termasuk lapan kejadian di dalam kawasan sekolah.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Edouard Geffray berdepan bantahan pelajar ketika melawat Sekolah Menengah Nelson-Mandela di bandar Nantes, barat Perancis, apabila sesi persekolahan disambung semula sebahagiannya enam minggu selepas kebakaran merosakkan sebahagian bangunan sekolah itu ketika tindakan menyekat akses oleh pelajar pada 1 Okt.

Sebahagian pelajar membantah lawatan menteri berkenaan yang disifatkan sebagai usaha meraih publisiti ketika gerakan protes pelajar masih berterusan.

Pelajar lain pula melaungkan slogan “Geffray bertanggungjawab”.

Geffray berkata beliau menghormati hak pelajar untuk menyuarakan tuntutan mereka, namun menegaskan bahawa keutamaan adalah memastikan mereka kembali mengikuti pembelajaran.

“Saya memahami bahawa terdapat pelajar yang menyuarakan tuntutan mereka dan saya amat menghormatinya. Keutamaan adalah memastikan pelajar dapat kembali mengikuti pembelajaran, dan ini tidak bermakna kami tidak boleh mendengar tuntutan mereka,” katanya kepada pemberita.

Ketika ditanya mengenai kehadiran polis antirusuhan di dalam kawasan sekolah semasa lawatannya, Geffray berkata beliau tidak gembira melihat anggota polis ditempatkan di situ, namun menegaskan bahawa kehadiran mereka diperlukan berikutan risiko keganasan.

“Ini bermakna terdapat individu yang berkemungkinan bertindak ganas, justeru pasukan keselamatan negara terpaksa mengambil tindakan sedemikian,” katanya sambil menambah bahawa “keganasan tidak mempunyai tempat dalam negara yang berteraskan kedaulatan undang-undang”.

Protes yang diterajui pelajar itu bermula pada pertengahan September di kawasan pinggir bandar Paris susulan kekurangan guru, bilik darjah yang terlalu sesak dan kemudahan sekolah yang semakin uzur, sebelum merebak ke kawasan lain di Perancis.

Pelajar turut menuntut penambahan kakitangan pendidikan serta penyelenggaraan bangunan sekolah yang lebih baik.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement