POLITIK
'Pas cuba berunding dengan Anwar, Zahid tanpa pengetahuan Muhyiddin' - Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi ketika bersiaran dalam podcast Lebih Masa kelolaan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan pengacara Nani Roslan.
KUALA LUMPUR: Sejarah telah menyaksikan Pas beberapa kali beralih arah demi kelangsungan politiknya, walaupun hingga dianggap ‘menikam belakang’ kawan dalam gagasan politik yang disertai, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Ringkasan AI
- Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, mendakwa Pas kerap beralih arah demi kelangsungan politik, termasuk berunding secara senyap dengan pemimpin kerajaan tanpa pengetahuan rakan komponen dalam Perikatan Nasional.
- Asyraf menjelaskan bahawa UMNO dan Pas pernah bersetuju membentuk kerajaan sementara bersama Muhyiddin selepas Langkah Sheraton, namun rancangan enam bulan itu tidak menjadi kenyataan.
- Pas didakwa menafikan penyertaan rasmi dalam Perikatan Nasional meskipun kemudian mengisytiharkan penglibatan, yang menurut Asyraf menunjukkan pengkhianatan terhadap rakan politik, berbeza dengan pendirian UMNO yang dikatakan konsisten.
Dan semua itu, tambahnya lagi, dilakukan tanpa pengetahuan rakan utama komponen Pas dalam Perikatan Nasional, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia).
“Kalau tengok Pas, dia fokus kepada politik. Dan kita macam UMNO, kita fikir polisi Kerajaan, negara, bila kalah (pada PRU 2018) baru tahu banyak benda tak buat, untuk kita wariskan perjuangan ini.
“Sebab itu kalau tanya saya tadi macam mana dengan politik di Kelantan. Nik Nazmi pernah bersama Pas, Keadilan pernah bersama dengan Pas, UMNO pernah bersama dengan Pas. Ini sejarahnya. Pas mana pernah kekal dengan rakan-rakan.
“Dalam diam-diam kita pun tahu. Anwar Ibrahim berapa kali beritahu kita, Pas menghantar wakil berjumpa dengan Datuk Seri Anwar, Pas berjumpa dengan Zahid Hamidi tanpa diketahui oleh pimpinan Bersatu. Sebab saya tahu siapa yang jumpa, orang yang sama bawa kepada kami dulu,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam podcast Lebih Masa kelolaan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan pengacara Nani Roslan yang diterbitkan pada Khamis.
LANGKAH SHERATON
Mengambil contoh peristiwa peralihan Kerajaan pada 2020, yang sinonim dikenali sebagai ‘Langkah Sheraton’, Asyraf Wajdi berkata, ketika itu Pas dan UMNO di dalam mesyuarat Muafakat Nasional bersetuju membentuk Kerajaan dengan Muhyiddin hanya untuk tempoh enam bulan sahaja.
Beliau berkata, langkah itu diputuskan selepas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan lebih baik membentuk Kerajaan sementara, berbanding cadangan UMNO ketika itu iaitu terus mendesak untuk pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum.
“Bila kita bersama dengan Kerajaan lepas Sheraton move dulu kita memang ada mesyuarat dengan Pas. Peringkat awal keputusan kita, kita tak mahu tubuhkan Kerajaan, kita nak pilihan raya. Sebab waktu itu (Datuk Seri) Najib kuat, tegas, dia kata no government will survive if it comes from backdoor. So, itu prinsip dia.
“Tetapi waktu tu Tuanku (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) titah tak boleh kata ada pilihan raya, Tuanku Sultan Pahang waktu tu Yang di-Pertuan Agong, ada mesyuarat Majlis Raja-raja, waktu itu kita keliru sikit boleh atau tidak Tuanku bubarkan parlimen kerana Perdana Menteri dah tak ada. Siapa nak beri nasihat?
“Lepas tu COVID-19 melanda, dan Tuanku kemudian minta kompromi. Sebab itu dalam mesyuarat penting di Tingkat 39 (Menara Dato Onn) akhirnya, saya ingat Hadi bangun dan beritahu – ‘macam ni lah … UMNO tak pernah berhadapan dengan pilihan raya sebagai pembangkang. Kami dah pernah.
“’Lebih baik kita masuk sekejap dalam Kerajaan, dan kita bubar, daripada kita jadi pembangkang’. Dan Itu mengubah pandangan semua kecuali Najib,” katanya lagi.
Rentetan itu, Asyraf Wajdi berkata, UMNO dan Pas akhirnya bersetuju untuk menyertai Kerajaan pimpinan Muhyiddin hanya untuk tempoh enam bulan dan memberi laluan kepada Belanjawan dahulu, tetapi akhirnya ia tidak kesampaian.
Susulan itu, beliau berkata, Muhyiddin kemudian mencadangkan agar semua parti dalam Kerajaan menubuhkan Perikatan Nasional secara rasmi, bukan lagi sekadar gabungan longgar, namun ia tidak dipersetujui oleh UMNO ketika itu.
Malah, dakwa Asyraf Wajdi lagi, Pas juga menafikan menyertai PN sebagai jawatankuasa penaja ketika itu, biarpun ditanya beberapa kali dalam siri-siri mesyuarat Muafakat Nasional ketika itu.
“Kita tanya Pas dalam mesyuarat Muafakat Nasional, macam mana Pas kita dengar you ada? Saya ingat lagi (Setiausaha Agung Pas) Datuk Seri Takiyuddin depan saya. Dan dia jawab … sudah-sudahlah Ketua Pemuda (Asyraf Wajdi), kan mesyuarat yang lepas kita dah buat penjelasan … bahawa kita tak akan sesekali libatkan diri dengan parti Perikatan Nasional, apatah lagi sebagai jawatankuasa protem. Dan itu diminitkan.
“Apa yang berlaku, Pilihan Raya Negeri Sabah, bubar saja, buat pengisytiharan Pas menyertai Perikatan Nasional. Sebab apa? Sebab perdana menterinya adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Dia boleh tikam belakang kita. Dia ada dalil-dalil dia. Tapi pokoknya UMNO tak pernah mengkhianati sesiapa. Sebab tu saya sebut, Sejarah UMNO bila berkawan kita tak pernah mengkhianati kawan-kawan. Yang tinggalkan orang lain bukan kita,” katanya lagi.
Malah dalam keadaan sekarang, Asyraf Wajdi berkata, Presiden UMNO sendiri mengakui berapa ramai (Pas) yang datang untuk berunding, tetapi ditolak kerana parti itu lebih mementingkan soal kestabilan negara dan rakyat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami