PAS Johor akan memberikan sokongan penuh sekiranya terdapat calon dalam kalangan Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) negeri ini dipilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pesuruhjaya Pas Johor Abdullah Hussin berkata setakat ini pihaknya tidak menentukan sasaran jumlah calon dari DHPP untuk bertanding dan sebarang keputusan mengenainya bergantung kepada Pas pusat dan keadaan semasa.

Sebelum ini, Ketua DHPP Johor R. Kumutha dipilih bertanding mewakili Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram pada 2008 dan 2013 serta DUN Johor Jaya pada 2018.

"Sebab apabila sudah bergabung dengan pihak lain di dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN), maka sudah tentu ada kompromi. Tetapi kalau dinasihat untuk bertanding, kami PAS negeri bagi sokongan penuh," katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen DHPP Johor kali pertama, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berapa ramai calon bukan Islam dalam kalangan DHPP yang bakal dicalonkan pada PRU15 akan datang.

Abdullah dalam masa sama, berkata pihaknya menyasarkan untuk meningkatkan jumlah keahlian DHPP Johor kepada 2,000 orang menjelang akhir tahun ini, berbanding hampir 600 orang ketika ini.

Beliau berkata setakat ini DHPP Johor sudah diwujudkan di 14 kawasan Parlimen daripada keseluruhan 26 Parlimen di negeri ini dan usaha mewujudkan DHPP di kesemua Parlimen itu disasarkan sehingga hujung Oktober ini.

-- BERNAMA