KUALA LUMPUR: Ramai yang tidak tahu bahawa di sebalik gambaran bahawa Pas merupakan parti yang jumud, sebenarnya, parti Islam itu juga liberal terutama dalam bidang seni.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menjelaskan kerajaan Kelantan yang diterajui Pas membuktikan perkara tersebut dengan membantu usaha memperkasakan seni.

Ahli Parlimen Machang itu menjelaskan, Pas terbuka untuk bersama memperkasakan bidang seni selagi mana ia tidak melanggar undang-undang syarak.

"Ramai oarng ingat kerajaan negeri Pas ini kerajaan yang jumud dalam seni, tidak, di Kelantan, di tempat saya di Machang contohnya ada Eddin Khoo yang mengusahakan projek untuk memperkasakan Mak Yong.

"Projek ini dibantu juga oleh kerajaan negeri, selagi mana ia tidak melanggari syariah, kerajaan negeri akan bantu.

"Dari segi ini, ya lah tidak ada wayang, tidak ada konsert, kita faham... tapi dari segi hal-hal yang lain, saya rasa Pas pun liberal dan menerima budaya moden dalam kehidupan dalam seni," katanya.

Wan Ahmad Fayhsal berkata demikian dalam podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan pada Khamis.

Beliau mengakui terdapat cabaran untuk membawa spektrum politik Perikatan Nasional (PN) ke tengah kerana pandangan-pandangan sesetengah pimpinan yang dilihat lebih bersifat jumud.