KOTA BHARU: Pas Kelantan masih mengekalkan semangat muafakat bersama UMNO dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di peringkat negeri.

Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, penjelasan kepada rakyat tentang kedudukan semasa juga menjurus ke arah mendokong muafakat antara tiga parti ini.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan masih wujud penolakan oleh sebahagian kecil ahli Pas yang tidak serasi dengan perjuangan UMNO.

"Secara umumnya, Pas dan UMNO, kalau kata 100 peratus (sokongan) melampaulah. Saya berani kata, 90 peratus orang Pas boleh terima kerjasama ini, walaupun pada peringkat awal ada penentangan, sebab sejarah lama UMNO.

"UMNO pun begitu. Lama-lama dia fikir, boleh terima (kerjasama dengan Pas). Bagi mereka yang 'pure', kita tak boleh paksa, biarlah. Sebab, orang-orang tua ini ada pengalaman pahit dengan UMNO.

"Kita cuba pujuk tetapi kita tak paksa," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan Skim Pendidikan Anak Yatim (SPY) Fasa 2 dan Skim Manfaat Kifalah di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penerimaan rakyat Kelantan terhadap UMNO, Pas dan Bersatu yang bersama dalam Perikatan Nasional (PN), serta hala tuju pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Politik | Pas Kelantan kekal bermuafakat bersama UMNO & Bersatu

Katanya, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor, Pas Kelantan masih meletakkan asas kebersamaan tiga parti ini sehingga ke PRU ke-15.

Namun, pada masa sama, Pas turut menyediakan pelan pilihan sekiranya berlaku kemungkinan lain dalam kerjasama itu.

Menyentuh mengenai pendirian Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang tidak sehaluan dengan kerajaan PN, Mohd Amar berkata, Pas tidak mencampuri urusan berkenaan.

Katanya, Muafakat Nasional antara Pas dan UMNO yang dijalinkan di peringkat pusat masih menjadi pegangan Pas Kelantan.