PAS tetap dengan keputusan menolak jawatan Menteri Besar Selangor, kata Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu.

Mohamad berkata keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat akan tetap dipertahankan.

"Kami (PAS) tetap dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang memutuskan untuk menyerahkan jawatan Menteri Besar Selangor.

"Kalau PAS terima jawatan itu (MB Selangor) tapi PKR dan DAP tidak setuju akan jadi kerajaan Selangor," katanya kepada pemberita di Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-60, di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata semua pihak perlu menerima keputusan yang dibuat oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Kerusi MB itu milik PKR tetapi apa saja keputusan Sultan Selangor perlu diterima semua pihak," katanya.

Mustafa bagaimanapun enggan mengulas sama ada PAS akan menerima jawatan tersebut.

Manakala Exco Kerajaan Selangor, Salehen Mukhyi menafikan beliau akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

"Saya dimaklumkan ada majlis angkat sumpah MB baharu Selasa depan.

"Saya tidak tahu siapa akan dilantik, yang penting bukan saya," katanya.