Pas akan menubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan di Kelantan dan Terengganu bagi memastikan semua manifesto yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu berjaya dilaksanakan di dua negeri itu.

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata Majlis Penasihat Kerajaan itu akan dipengerusikan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang manakala timbalan pengerusinya pula ialah Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Terdapat juga beberapa tokoh yang berpengalaman dalam sektor kerajaan serta pegawai-pegawai kerajaan yang mempunyai kepakaran tertentu di dalam majlis penasihat ini.

"Ia juga terdiri daripada pimpinan parti serta panel perunding iaitu pegawai-pegawai dalam jabatan kerajaan untuk memastikan pelaksanaan manifesto PRU14 yang berteraskan kesejahteraan rakyat di dua negeri itu dapat dilakukan," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Pas Pusat dan Pas Terengganu di sini, hari ini.

Beliau berkata walaupun Pas telah memerintah Kelantan selama 28 tahun, majlis penasihat itu tetap perlu ditubuhkan di Kelantan untuk memastikan semua janji manifesto Pas kepada rakyat negeri itu dapat ditunaikan.

"Majlis penasihat ini juga akan bertindak sebagai badan pemantau atau pemerhati kerana pendekatan Pas sekarang ialah mengamalkan budaya politik yang matang dan sejahtera terhadap kerajaan persekutuan.

"Walaupun Pas sekarang ini pembangkang, kita tidak menentang parti pemerintah... sama seperti terhadap kerajaan terdahulu (Barisan Nasional). Hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat ini adalah berdasarkan konsep federalisme," katanya.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata Pas akan menganjurkan Muktamar Pas Pusat dan Konvensyen Dewan Himpunan Penyokong Pas di beberapa lokasi di Terengganu pada 14 hingga 16 September depan.

"Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat tadi memutuskan muktamar itu akan diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak di Kuala Nerus, Muktamar Dewan Pemuda di Stadium Negeri Kuala Terengganu, Muktamar Dewan Muslimat di Taman Tamadun Islam dan Muktamar Dewan Ulama di Hotel Permai.

"Pas juga akan menjemput parti-parti pembangkang yang lain termasuk UMNO serta parti gerakan Islam dari luar negara pada muktamar itu," katanya.

-- BERNAMA