SHAH ALAM: Pas mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas kepada penganut agama Kristian di seluruh negara yang akan menyambutnya pada Isnin.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, diharap sambutan tersebut dapat berjalan dengan lancar dalam suasana selamat dan harmoni, sekali gus menjadi pembuka pintu hari-hari muka yang lebih baik serta bermakna.

“Kepelbagaian perayaan serta acara sambutan, sama ada berasaskan agama atau budaya, berjalan secara harmoni dan meriah dalam kalangan pelbagai kelompok adalah manifestasi keunggulan sikap lunak, bertoleransi serta saling menghormati antara kita yang kukuh terjalin sejak sekian lama.

“Ia bukan sahaja perlu dipertahankan daripada kecenderungan yang boleh melemahkan keunggulan sikap itu.

“Malah perlu terus disuburkan atas kesedaran bahawa kepelbagaian yang wujud merupakan khazanah berharga masyarakat Malaysia untuk menambah nilai kepada mutu kehidupan bersama kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Sambutan Hari Krismas atau dipanggil Hari Natal disambut pada 25 Disember setiap tahun oleh penganut Kristian.

Tambah Takiyuddin, sebagai sebuah parti Islam, Pas terbuka dalam meraikan kepelbagaian sebagai ajaran Islam yang asas dan ciri untuk menentukan masyarakat.

“Pas sentiasa meraikan dan terbuka kepada kepelbagaian, bukan sahaja sebagai ciri istimewa masyarakat, tetapi juga sebagai teras ajaran Islam itu sendiri yang menerima realitinya dalam ikatan keluarga besar kemanusiaan meliputi semua orang.

“Ini termasuk dari pelbagai kaum, kelompok ras, budaya mahupun agama secara sah dan terhormat,” ujarnya. - Sinar Harian