KUANTAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari telah berbincang dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung pembentukan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha PH Pahang, Rizal Jamin dalam satu kenyataan pada Rabu.

"Di dalam usaha untuk membentuk kerajaan Negeri Pahang yang baharu , Pengerusi PH Pahang Datuk Seri Amirudin Shari telah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada 22 November 2022.

"Hasil perbincangan adalah positif ke arah membentuk kerajaan Pahang di antara BN dan PH yang stabil dan inklusif demi menjamin kemakmuran dan pembangunan mapan ekonomi negeri Pahang Darulmakmur," jelas kenyataan itu.

Sebarang perkembangan lanjut jelasnya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sebelum ini, wakil Perikatan Nasional (PN) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan perbincangan bersama Wan Rosdy telah selesai di ibu negara.

Malah keputusan perbincangan di antara PN dan BN itu jelasnya telah dimaklumkan kepada Tuanku Sultan Pahang.

Sehingga kini, teka-teki gabungan politik yang akan membentuk kerajaan negeri belum dipastikan meskipun PRU15 telah berakhir tiga hari lalu.

Ketika ini, DUN Pahang masih tergantung selepas tiada gabungan politik yang mendapat majoriti mudah 22 kerusi dalam PRU15.

Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 kerusi DUN, diikuti BN peroleh 16 kerusi DUN dan PH pula hanya lapan kerusi DUN.

Ketika ini, satu kerusi DUN di Tioman akan dijalankan proses pengundian pada 7 Disember depan susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli pada awal pagi Sabtu.