KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendedahkan 'perang mulut' di antara beliau dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Haji Noor telahpun berakhir.

Bung Moktar berkata perselisihan adalah perkara biasa yang berlaku di dalam politik dan ia sekadar luahan hati beliau.

"Begitulah politik. Kadang-kadang anda perlu lontarkan sesuatu. Setakat ini tiada pergeseran (GRS-BN). Yang ada itu kita punya luahan hati.

"Kita dalam UMNO, Barisan Nasional memang  sentiasa berjiwa besar," ujar Bung ketika ditemui di Dewan Undangan Negeri Sabah pada Jumaat.

Dalam pada itu, Bung Moktar turut menekankan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin di Sabah dalam menangani kemelut politik yang berlaku di Semenanjung sebelum ini.

Jelas beliau, politik merupakan instrumen untuk membangunkan negeri itu sambil menambah Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor senada dengan beliau bahawa kesan kerajaan perpaduan yang wujud di Semenanjung perlu diperluaskan ke Sabah bagi menuai limpahan ekonomi dan pembangunan yang sama.

"Di situlah kebijaksanaan pemimpin itu diperlukan, sebab politik ini bukan emosi. Politik ini adalah satu instrumen untuk memastikan bahawa kita mendapat kuasa dan kuasa itu kita guna pakai untuk negeri Sabah.

"Yang Amat Berhormat Ketua Menteri memaklumkan bahawa kita ingin juga kerajaan perpaduan di Semenanjung ini melimpah ke negeri Sabah dan untuk memastikan rakyat Sabah juga mendapat limpahan ekonomi dan pembangunan yang sama," katanya. 

Terdahulu, hubungan GRS-BN dilihat renggang susulan kenyataan Bung Moktar yang mendakwa Hajiji mengisytiharkan perang terhadap BN melalui sokongan diberikan GRS kepada Perikatan Nasional (PN) di Semenanjung.

Perkara tersebut bagaimanapun disanggah oleh Hajiji dengan mengatakan GRS mempunyai hak menentukan sokongan kepada mana-mana parti selepas kekalahan besar BN pada PRU15.