KUANTAN: Pakatan Harapan (PH) Pahang sebulat suara bersetuju memberi sokongan secara rasmi kepada Barisan Nasional (BN) dalam membentuk kerajaan negeri.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Amirudin Shari persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat gabungan itu pada Sabtu.

“Pakatan Harapan (PH) Pahang telah bermesyuarat hari ini dengan di pengerusikan oleh Datuk Seri Amirudin Shari selaku Pengerusi PH Pahang

“PH Pahang telah mencapai persetujuan sebulat suara untuk memberi sokongan secara rasmi untuk membentuk kerajaan Pahang bersama dengan Barisan Nasional (BN).

“Ini berdasarkan kepada jumlah kerusi DUN secara keseluruhan yang dimenangi oleh BN (16 kerusi) dan PH (8 kerusi) yang telah melebihi majoriti mudah,” jelasnya dalam kenyataan media hari ini.

Tambahnya, PH Pahang berharap kerajaan negeri yang baharu dapat dibentuk demi kepentingan rakyat.

“Kami berharap kerajaan Negeri Pahang yang baru pasca PRU15 dapat dibentuk demi menjamin pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan lancar untuk kepentingan rakyat,” jelasnya lagi.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu menyaksikan Perikatan Nasional (PN) memperoleh 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), BN 16 kerusi DUN dan PH hanya lapan kerusi DUN.

Bagaimanapun sehingga kini, belum terdapat kenyataan secara rasmi mengenai pembentukan kerajaan dari pihak Istana.