ALOR SETAR: Kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Padang Serai bukanlah indikator mutlak bagi merumuskan penolakan rakyat terhadap gabungan PH dan Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, ini kerana kerjasama PH-BN itu telah berjaya menzahirkan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.

Menurutnya, pengumuman kerjasama di Padang Serai diumumkan agak lewat dan mungkin menjadi faktor pengundi keliru dan tidak mendapat maklumat menyeluruh berhubung kerjasama PH-BN, berbanding di DUN Tioman.

“Ini ditambah pula dengan gelombang ditiup pihak lawan yang membawa sentimen perkauman, keagamaan sempit yang menakutkan rakyat dalam berpolitik.

“Kekalahan di Padang Serai, walaupun disokong oleh rakan-rakan parti gabungan Kerajaan Perpaduan harus diterima dengan hati terbuka selain menginsafi diri berkaitan pola peralihan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN),” katanya di sini pada Khamis.

Shaiful Hazizy meminta agar semua pihak menjadikan keputusan Parlimen Padang Serai sebagai iktibar untuk menilai kelemahan, memperbaiki dan merancang strategi lebih berkesan seterusnya kembali bangkit meraih kepercayaan rakyat bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, tahun hadapan.

“Saya percaya ini adalah masa yang terbaik untuk kita menilai semula kekuatan yang ada dan memastikan sinergi antara rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan dapat dimaksimumkan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pada masa sama satu kajian yang menyeluruh perlu dilakukan bagi mencari punca penolakan terhadap BN di Kedah.

“Apa jua keputusan, fokus dan tumpuan kini perlu diberikan kepada PRN Kedah yang akan diadakan tahun hadapan.

“Saya yakin dan percaya, melalui perangkaan strategi awal yang berkesan selain kerap turun padang menyantuni akar umbi bagi menerangkan kekuatan kerjasama parti dalam Kerajaan Perpaduan, angin perubahan mampu dilakukan di Kedah dalam PRN akan datang,” katanya.

Pada Rabu, keputusan Pilihan Raya Umum Padang Serai menyaksikan kerusi tradisi yang menjadi milik PH itu turut tumbang kepada PN, yang dimenangi oleh Datuk Azman Nasrudin dengan majoriti 16,260 undi.


Pada PRU15 lalu, PN menyapu bersih hampir keseluruhan kerusi Parlimen di Kedah dengan membolot 13 kerusi, hanya Parlimen Sungai Petani dimenangi PH, iaitu Dr Taufiq Johari.


Bagi DUN Tioman pula menyaksikan BN berjaya mempertahankan kubu kuatnya itu meskipun calonnya, Datuk Seri Mohd Johari Hussain mendapat majoriti tipis, 573 undi. -Sinar Harian