PAU 2025: UMNO rangka ‘garis merah’, amaran keras kepada rakan kerajaan - Mohamad Hasan

Mohamad memberi peringatan kepada rakan dalam Kerajaan Perpaduan agar tidak memandang rendah keupayaan UMNO hanya kerana parti itu memilih untuk berada dalam kerajaan. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: UMNO menegaskan pendiriannya bahawa kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan tidak sesekali menjadi alasan untuk menggadai prinsip asas parti, terutama melibatkan agama, bangsa dan institusi diraja.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO perlu menghantar isyarat yang jelas kepada rakan kerajaan agar tidak mencabar asas negara yang menjadi teras perjuangan parti itu sejak penubuhannya.
“Kita perlu menghantar isyarat yang jelas, keras dan tuntas, khususnya kepada golongan berhaluan kiri, kelompok liberal, atau sekutu politik yang cuba menangguk di air keruh. Jangan sesekali cabar Garis Merah atau Red Line ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2025 di Dewan Merdeka, di sini, pada Rabu.
Beliau menjelaskan, garis merah pertama melibatkan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta kontrak sosial negara.
“Ini bukan isu rasisme, ini adalah asas Perlembagaan dan kontrak sosial yang telah membina negara ini. Kita boleh berkongsi kuasa, tetapi kita tidak akan berkongsi atau menggadaikan maruah bangsa,” ujarnya.
Mohamad berkata, UMNO juga tidak akan berkompromi dalam mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta menolak sebarang agenda yang boleh merungkai peranan Islam dalam negara.
“Islam sebagai Agama Persekutuan adalah tiang seri negara. UMNO akan menjadi benteng paling hadapan, yang akan menentang sebarang dakyah yang cuba merungkaikan kedudukan Islam di tanah air ini,” katanya.
Selain itu, beliau menegaskan institusi Raja-Raja Melayu mesti terus dipelihara sebagai payung kedaulatan negara dan tidak boleh dipermainkan atas apa juga alasan.
“Institusi diraja bukan sekadar simbol, ia adalah payung kedaulatan negara. UMNO lahir dari istana dan rakyat, kesetiaan kami kepada Raja tidak berbelah bahagi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad memberi peringatan kepada rakan dalam Kerajaan Perpaduan agar tidak memandang rendah keupayaan UMNO hanya kerana parti itu memilih untuk berada dalam kerajaan.
“Saya memperingatkan rakan-rakan di dalam Kerajaan Perpaduan. Jangan sangka kerana kita berada dalam satu kabinet, UMNO sudah tumpul taringnya,” katanya.
Beliau menegaskan UMNO tidak akan berdiam diri sekiranya asas negara dicabar, tanpa mengira sama ada ia datang daripada kawan atau lawan politik.
“Jangan sangka kerana kita mahu kestabilan politik, kita akan pejam mata bila asas negara diganggu gugat. Kita akan bangun. Kita akan bersuara dan kita akan menentang habis-habisan sesiapa juga, kawan atau lawan, yang cuba merobek tiga teras utama ini,” tegasnya.
Mohamad menegaskan pendirian UMNO itu bersifat kekal dan tidak bergantung kepada perubahan landskap politik atau gabungan kerajaan.
“Politik boleh berubah, gabungan boleh bertukar, tetapi prinsip ini kekal mati bersama UMNO,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


