KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencuri perhatian para perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 apabila berkali-kali menitipkan pesanan kepada individu yang hanya dirujuknya sebagai “guru”.
Tanpa menamakan sesiapa, Ahmad Zahid meminta “guru” berkenaan mendengar suara UMNO, Barisan Nasional (BN) dan rakyat.
“Guru, cukup-cukuplah guru. Dengarlah suara kami, guru. Dengarlah suara rakyat, guru. Cukup-cukuplah.
“Insya-Allah, kami boleh buat lebih daripada apa yang guru buat,” katanya ketika berucap pada pembukaan PAU 2026 di sini, pada Jumaat.
Kenyataan itu serta-merta disambut tepukan dan sorakan para perwakilan yang memenuhi Dewan Merdeka.
Ahmad Zahid berkata, mesej tersebut bukan hanya mewakili suara UMNO, bahkan turut mencerminkan pendirian keseluruhan parti dalam BN serta rakyat.
Beliau kemudian mengulangi pesanannya, kali ini dengan nada lebih tegas agar “guru” tidak menutup mata dan telinga terhadap suara yang sedang disampaikan.
“Guru, dengarlah guru. Jangan butakan mata, jangan tulikan telinga. Cukup-cukuplah,” katanya lagi.
Namun, di sebalik pesanan “guru” itu, Ahmad Zahid menegaskan beliau bukan berniat menjadi batu api bagi mana-mana pihak.
Sebaliknya, beliau tidak mahu keresahan, kegelisahan dan kekeliruan terus menyelubungi rakyat hingga melahirkan apa yang disifatkannya sebagai “keliruisme” yang tidak berkesudahan.
BERITA LANJUT MENYUSUL