KUALA LUMPUR: Sebarang rundingan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu mengambil kira kepentingan UMNO Terengganu agar parti itu tidak hilang ruang untuk bangkit di negeri berkenaan.
Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu berhati-hati ketika berunding dengan gabungan berkenaan, khususnya melibatkan pembahagian kerusi.
“Apabila berunding dengan pihak yang satu lagi itu, berhati-hatilah Datuk Seri dan kena fikir-fikirkan juga kami.
“Berkira-kira juga Datuk Seri, nanti balik-balik 40-0 pula. Jadi, berkira biar matang, berunding biar tenang, jangan seorang sahaja menang, biar bersama-sama senang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Ahmad Razif merujuk keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan PN menguasai kesemua 40 kerusi di Terengganu, merangkumi 32 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen.
Mengulas gagasan Kolaborasi Agung serta pendekatan tafahum siyasi atau persefahaman politik yang diketengahkan oleh Ahmad Zahid, beliau mengingatkan supaya kerjasama itu tidak menyebabkan kepentingan parti di Terengganu tergadai.
“Sefahaman-sefahaman juga, tetapi jangan tergadai habis, terlondeh sampai berbogel kami di Terengganu ini, Datuk Seri,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, beliau bersama dua lagi bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said, bersedia membantu kepimpinan UMNO negeri yang diterajui Datuk Rozi Mamat.
Menurutnya, barisan kepimpinan UMNO Terengganu sudah merapatkan saf dan akan melipatgandakan khidmat kepada rakyat dari Kemaman hingga Besut, termasuk Hulu Terengganu serta kawasan pesisir Kuala Terengganu.
“Kami berjanji UMNO Terengganu akan bangkit semula menebus maruah parti di bumi Darul Iman,” katanya.
Untuk rekod, BN dan PN, yang turut dianggotai Pas, mula menjalinkan persefahaman politik ketika menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Negeri Sembilan sebelum membentuk kerajaan negeri secara bersama.
Kerjasama berkenaan turut mencetuskan kemungkinan formula sama diperluaskan ke negeri lain, termasuk dalam menghadapi PRN Melaka.