KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, UMNO berhasrat mahu Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) disegerakan bagi membolehkan parti itu mendapatkan semula mandat rakyat untuk menerajui kepimpinan negara.
Menurut Presiden UMNO itu, PRU16 akan menjadi titik penentuan bagi UMNO untuk kembali memimpin negara dan bukan sekadar menjadi pelengkap dalam kerajaan.
"Gelombang biru bukan hanya untuk menjadikan UMNO sebagai pelengkap kerajaan. PRU16 adalah titik penentuan bagi kita untuk mendapatkan semula mandat menerajui kepimpinan.
"Kita harus rangkul sahabat-sahabat lain untuk sama-sama melakar kejayaan. Justeru, telah tiba masanya PRU16 disegerakan," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika menampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur, di sini, pada Jumaat.
Turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Presiden PPP, Datuk Loga Bala Mohan.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata, tuntutan supaya PRU16 diadakan lebih awal bukan sekadar harapan, sebaliknya mencerminkan kehendak rakyat.
"Ini bukan desakan, ini bukan harapan, ini kehendak rakyat. Cukup-cukuplah memberi peluang, kali ini biar peluang diberikan kepada kami pula," katanya.
Dalam masa sama, beliau menyeru kepada seluruh perwakilan UMNO agar terus berjuang bagi memastikan parti itu kembali mencapai kemenangan dalam PRU16.
Katanya, asid deoksiribonukleik (DNA) UMNO adalah untuk memimpin, namun kemenangan tidak akan datang bergolek tanpa strategi dan perancangan yang mengambil kira realiti di lapangan.
"Walaupun DNA UMNO ialah DNA memimpin, kemenangan itu tidak datang bergolek. Ia perlu dilengkapi dengan strategi dan peraturan yang memahami realiti di lapangan," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, UMNO perlu memperkukuh kerjasama dengan parti sahabat serta menyusun strategi yang lebih berkesan bagi menghadapi PRU16.
"Alang-alang kita telah berlawan, kita lawan sampai menang," ikrar Presiden UMNO itu lagi.