Perwakilan Wanita UMNO inginkan ketua mereka Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kembali menganggotai Kabinet.

Perwakilan dari Selangor, Hasnah Dain berkata, pihaknya menginginkan Shahrizat kerana beliau mempunyai kelayakan bagi mengisi jawatan tersebut.

"Ini akan membuktikan bahawa Kerajaan peka dan bersifat inklusif terhadap golongan wanita,"kata Hasnah yang merupakan Ketua Wanita UMNO Puchong.

Pandangan sama dikongsi perwakilan dari Sabah, Rahimah Asrah yang mencadangkan supaya Shahrizat diletakkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

"Ini penting supaya apabila beliau menang, mudahlah untuk melantik beliau sebagai Menteri," katanya yang merupakan Ketua Wanita UMNO Batu Sapi.

Kali terakhir Shahrizat bertanding adalah pada PRU ke-12 di mana beliau kalah kepada Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar di kerusi Parlimen Lembah Pantai.

Sebelum itu, beliau telah menjadi Ahli Parlimen Lembah Pantai selama tiga penggal.