KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan melabelkan Pas sebagai parti yang tidak pernah setia atau ikhlas kepada parti itu.

Bahkan, katanya, melihat kepada rekod terdahulu parti itu, Pas tanpa segan ‘berselingkuh’ dengan semua parti seperti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) malah juga bersama ‘janda’ UMNO.

Tegas beliau, berdasarkan kepada pengalaman itu dan selepas Langkah Sheraton, UMNO berasakan bahawa parti itu memerlukan sesuatu yang lebih lestari dan konkrit.

“Jadi, bila Istana Negara mengusulkan penubuhan Kerajaan Perpaduan pada UMNO, ia adalah solusi yang paling ampuh.

“Bukan sahaja ia dapat memberikan ketembusan kepada kebuntuan politik waktu itu, tetapi juga memberikan UMNO peluang untuk menyumbang secara bermakna.

“Kita juga merasakan bahawa telah tiba masanya untuk kita tidak terbelenggu dengan ideologi parti tertentu, dalam saat paling kritikal untuk Malaysia.

“Yang penting kepada kita ialah memberi fokus kepada ‘governing’ (mentadbir). Keutamaan UMNO, ialah kestabilan politik Malaysia dan bukannya idelogi politik rakan kerjasama kita dalam Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kerjasama dengan DAP, Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan pendirian politik mestilah diasaskan kepada realiti politik dan disesuaikan dengan keperluan dan kedinamikan semasa.

“Kita memang kenal pendirian mereka. Mereka juga faham pendirian kita. Mereka tidak bermuka-muka dan berpura-pura setiakawan. Kita pun tidak perlu berpura-pura.

“Kita tahu siapa itu DAP. Kita juga tahu siapa itu PKR dan Amanah. Maka kita membuat keputusan, berdasarkan pilihan paling sesuai, untuk membolehkan kita mengurus perbezaan.

“Tetapi jika kita dengan PN, kita hanyalah pemain ketiga, yang berkongsi kepentingan demografi yang sama. Ini akan menyukarkan UMNO, mengurus segala perbezaan di masa akan datang,” ujarnya.

Tambahnya, satu perkara yang pasti, pilihan UMNO untuk bekerjasama dengan PH telah menjadikan UMNO sebuah parti yang akan mewakili kepentingan Melayu terbesar dalam kerajaan sedia ada.