KUALA LUMPUR: Peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah masih mendakwa wang RM42 juta yang masuk ke dalam akaun bank anak guamnya, Datuk Seri Najib Tun Razak, adalah derma daripada kerabat diraja Arab Saudi meskipun mahkamah membuat keputusan dan penilaian sebaliknya.

Shafee membuat dakwaan berkenaan ketika berucap kira-kira 20 minit pada Taklimat Khas Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang dihadiri ketua-ketua bahagian dan cawangan parti itu.

Najib ketika fasa rayuan akhir berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC Internasional Sdn Bhd (SRC) di Mahkamah Persekutuan pada 25 Julai membuat kejutan dengan memberhentikan khidmat Shafee dan peguam daripada firma Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya.

Shafee mendakwa Najib menerima wang itu dari perjanjian yang dibuat selepas Ahli Parlimen Pekan mengadakan pertemuan dengan Almarhum Raja Arab Saudi, Raja Abdullah dan turut dihadiri dua menteri serta seorang duta.

Kenyataan beliau dilihat menyanggah keputusan Mahkamah Rayuan pada Disember tahun lalu bahawa tiada bukti langsung menunjukkan RM42 juta itu datangnya daripada atau mungkin datang daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International sekali gus menghantar bekas Presiden UMNO itu ke Penjara Kajang. - Sinar Harian