POLITIK
‘Pejabat Rafizi tak pernah dikosongkan’ - Bekas Pegawai Khas Kementerian Ekonomi
SHAH ALAM: Pejabat Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli tidak pernah dikosongkan sewaktu beliau mengambil cuti tempoh hari.
Ringkasan AI
- Bekas Pegawai Khas Kementerian Ekonomi, Najib Bakar, menegaskan bahawa pejabat Datuk Seri Rafizi Ramli tidak pernah dikosongkan semasa beliau bercuti, menafikan dakwaan Nurul Izzah Anwar.
- Rafizi tidak pernah menghantar sebarang surat peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi atau Timbalan Presiden PKR kepada Perdana Menteri, walaupun terdapat dakwaan sebaliknya.
- Najib menjelaskan bahawa pejabat hanya dikemas sebagai persiapan untuk jamuan Hari Raya pada 28 April, bukan kerana Rafizi mahu meletak jawatan atau mengosongkan pejabat.
“Saya boleh sahkan pejabat Rafizi tidak pernah dikosongkan sewaktu beliau bercuti hari itu. Kalau nak tangkap layar status saya ini pun boleh.
“Mungkin ada yang menyampaikan maklumat salah kepada orang lain.
“Oh ya! Surat letak jawatan (sebagai menteri dan Timbalan Presiden PKR) pun tak pernah diberi kepada Anwar,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, Nurul Izzah mendakwa surat peletakan jawatan dan kekosongan pejabat Rafizi mendorong beliau untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR bagi sesi 2025–2028.
Menerusi hantarannya di Facebook menjelang pemilihan, Puteri Reformasi itu memaklumkan bahawa beliau berada di India bagi menghadiri satu persidangan dan dalam masa sama menerima khabar bahawa Rafizi mengambil cuti daripada tugas sebagai Menteri Ekonomi serta mengosongkan pejabatnya di Putrajaya.
Beliau turut memberitahu bahawa pucuk pimpinan parti juga dimaklumkan mengenai surat peletakan jawatan menteri yang disediakan oleh Rafizi.
Kata Nurul Izzah, perkara tersebut menimbulkan kebimbangan bahawa Rafizi mungkin tidak akan mempertahankan jawatan yang disandangnya dalam PKR, sekali gus menambah keresahan tentang potensi kekosongan kepimpinan.
Dakwanya lagi, perkara itu berlaku susulan beberapa siri kekalahan di peringkat bahagian cabang melibatkan pimpinan yang sehaluan dengan Rafizi serta pemimpin lain di peringkat akar umbi.
Mengulas lanjut, Najib memaklumkan bahawa pejabat Rafizi hanya dikemaskan sebagai persiapan bagi jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kementerian Ekonomi pada 28 April lalu, bukannya dikosongkan seperti yang didakwa.
"Pada 27 April lepas, memang ramai anggota polis Unit Cawangan Khas (SB) masuk ke bangunan Kementerian Ekonomi untuk semak betul atau tidak Rafizi dah kemas pejabat.
"Tak tahulah mereka dengar daripada mana, agaknya 'sumber tak dinamakan'.
"Sebenarnya betul, memang pejabat menteri dikemaskan, tetapi sebagai persiapan jamuan raya pada 28 April," ujar Najib lagi. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami