KUALA LUMPUR:Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sanggup bekerjasama dalam usaha semua pihak menangani ancaman wabak COVID-19, kata pengasasnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir menjelaskan Pejuang akan patuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

"Sebagai pemimpin Pejuang yang belum didaftar, saya ingin menyatakan kesyukuran kami dan junjung kasih kami kepada Kebawah Duli Tuanku YDPA yang telah utamakan kepentingan rakyat dengan membuat keputusan yang bijak terhadap cadangan mengisytihar darurat di negara tercinta ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahli Parlimen Langkawi itu menjelaskan rakyat tentunya gembira dengan keputusan yang telah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong itu.

[LAPOR LANGSUNG]: Mampukah Ahli Parlimen berhenti main politik selepas titah Agong?

BACA: DAP bersedia, cuma tunggu PM adakan rundingan rasmi - Anthony Loke

Katanya, Pejuang juga menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu orang politik kurang berpolitik.

Dr Mahathir berpendapat, titah Yang di-Pertuan Agong tidak terhad kepada ahli politik pembangkang semata-mata tetapi termasuk ahli politik kerajaan.

"Oleh itu, diharap sementara ahli politik pembangkang menghormati nasihat Duli Yang Maha Mulia, ahli politik Kerajaan dan Kerajaan juga henti tindakan politik seperti melucutkan jawatan orang politik yang tidak sokong Kerajaan.

"Memberhentikan peruntukan wakil rakyat yang tidak sokong Kerajaan, membeli penyokong parti lawan untuk menjatuhkan Kerajaan Parti lawan, memaksa pilihanraya diadakan kerana percubaan merebut Kerajaan, menolak pendaftaran parti politik seperti Pejuang, dan bermacam lagi tindakan politik seperti sogokan wang dalam pilihanraya," katanya lagi.

Pada Ahad, Yang di-Pertuan Agong menitahkan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia buat masa ini.

Seri Paduka Baginda sebaliknya mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.