KUCHING: Pelantikan Datuk Juanda Jaya sebagai Menteri Muda Intergriti dan Ombudmen di Jabatan Ketua Menteri dianggap sebagai satu penghormatan dan amanah daripada Ketua Menteri Tan Seri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, beliau akan berusaha melakukan yang terbaik selain pelantikan itu sebagai medan baharu buatnya menimba ilmu.

“Khidmat kepada rakyat dan negeri akan digalas semampu yang boleh. Amanah besar, tanggungjawab pun besar.... Saya akan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.

Selain itu, Juanda berkata, pelantikan itu juga akan memberi nafas baharu untuk meneruskan visi memajukan Sarawak memandangkan ramai pemimpin baharu dan muda diketengahkan.

“Saya percaya susunan baharu kabinet Abang Johari Tun Openg adalah manifestasi kepada visi 2030 Sarawak maju.

"Saya yakin dan percaya dengan banyak muka baharu dalam kalangan yang berusia 40 ataupun awal 50an akan memberi nafas baru kepada corak pentadbiran Negeri Sarawak dalam membawa negeri ini maju menjelang 2030,”

Pada PRN 12 yang lalu, Juanda berjaya mempertahankan kerusi DUN Jemoreng untuk penggal kedua menewaskan calon Amanah dan Bebas.