Pembahas-pembahas di dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini diminta lebih serius dan tidak hanya mengejar populariti dengan isi-isu retorik semata-mata.

Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata setiap permasalahan rakyat harus dibangkitkan dengan jujur dan didengar kepimpinan tertinggi parti untuk tindakan susulan.

"Kita harap pembahas di dalam perhimpunan agung UMNO kali ini dapat menyatakan dan menyuarakan hasrat dan permasalahan akar umbi.

"Setiap topik harus serius dan dapat didengari oleh kepimpinan tertinggi UMNO supaya satu jalan penyelesaian dapat diperolehi segera," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Najmil mengulas isu perbahasan menarik yang harus menjadi pilihan wakil-wakil UMNO pada perhimpunan yang akan berlangsung bermula 25 sehingga 29 November ini.

Dalam pada itu katanya, suara akar umbi dilihat paling utama untuk didengar kepimpinan tertinggi parti.

"Ini amat penting kerana suara akar umbi yang dibawa oleh pembahas sebenarnya mewakili suara orang Melayu di seluruh negara dan ia amat penting untuk disampaikan.

"Pembahas perlu ulas dengan cara yang terbaik, agar kepimpinan tertinggi UMNO dapat menyelami dan memahami sebarang permasalahan yang berlaku di peringkat masyarakat bawahan," jelasnya.

Dr Najmil memberi contoh isu orang Melayu di bandar, isu harga rumah yang melambung dan isu ekonomi mikro peniaga kecil Melayu antara yang perlu disampaikan di dalam perhimpunan agung kali ini.

"Justeru itu, kepimpinan tertinggi akan mencari solusi bagi membantu menyelesaikan sebarang permasalahan yang berlaku di peringkat rakyat bawahan," ujarnya.

Tambahnya, pembahas yang mewakili negeri masing-masing harus membawa usul masing-masing dengan fakta termasuk idea-idea yang dapat membantu kepimpinan negara untuk menyelesaikan sebarang permasalahan yang wujud.

"Apa yang saya minta, pembahas jangan retorik. Dalam keadaan orang Melayu dan UMNO sedang menghadapi satu cabaran politik yang bagi saya agak getir hari ini maka perbahasan kali ini perlu lebih serius.

"Perhimpunan Agung UMNO ini menjadi perhatian seluruh bangsa Melayu di negara ini, termasuk kaum-kaum lain bahkan masyarakat antarabangsa," katanya.

Perhimpunan Agung UMNO kali ini menerima 755 usul daripada 191 bahagian UMNO untuk dibahaskan.

Jumlah itu membabitkan 638 usul untuk rujukan dan 117 usul tanpa bahas.

Daripada jumlah usul untuk rujukan itu, 81 usul berkaitan pindaan perlembagaan parti, 87 usul politik, 67 usul ekonomi, 74 usul agama, 170 usul sosial, 121 usul pendidikan dan 38 lagi, lain-lain usul.