KUALA LUMPUR: Pembentukan kerajaan berasaskan kepartian mungkin tidak mampu untuk menyelesaikan kemelut politik pada ketika ini.

Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mazlan Ali berpendapat, kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membentuk 'kerajaan rakyat' atau gabungan ahli politik rentas parti boleh mewujudkan solusi kepada permasalahan yang dihadapi negara pada ketika ini.

"Maka kita menaruh harapan kepada wakil rakyat dan kebijaksanaan YDPA boleh mempertimbangkan kesemua ahli politik ini duduk berbincangan bersama, di mana penubuhan kerajaan baharu berasaskan kepartian mungkin tidak mampu selesaikan masalah.

"Namun pembentukan 'kerajaan rakyat' iaitu melibatkan ahli politik dari pelbagai parti boleh menjadi solusi kepada krisis dan kemelut dihadapi ketika ini dan usaha mencari penylesaian untuk keluar daripada krisis pandemik," katanya dalam Program Buletin AWANI Khas pada Isnin.

Jelas Dr Mazlan, dengan pembentukan kerajaan rakyat ini ia juga dapat membolehkan undang-undang diluluskan di Parlimen dengan mudah.

Ia juga dilihat dapat membentuk suatu polisi baharu yang lebih produktif dan dapat mencegah daripada insiden 'lompat parti' dan sebagainya.

Ini kerana tawaran Perdana Menteri sebelum ini juga ada menggariskan beberapa tawaran ke arah sistem demokrasi yang progresif seperti Akta Anti Lompat Parti, Undi 18 dilaksanakan sebelum pendaftaran secara automatik dan beberapa yang lain.