KUALA LUMPUR:Pemecatan Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) jelas menunjukkan tindakan tegas UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Pensyarah Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, ia jelas menjadi petanda UMNO sudah tidak sabar lagi untuk memasuki fasa pilihan raya umum itu. 

"Saya melihat ini adalah satu tindakan yang cukup tegas dilakukan BN dan UMNO untuk menentukan pendirian mereka  menjelang PRU15. UMNO juga semakin tidak sabar lagi untuk masuk PRU dengan mengambil tindakan cukup keras terhadap Setiausaha Agung BN itu sedangkan kita berhadapan kemelut pembahagian kerusi, dan sebagainya.

"Bagi saya apa yang boleh dilakukan oleh parti politik di pihak kerajaan iaitu bersiap sedia menghadapi PRU15 pada bila-bila masa kerana langkah UMNO sebagai parti yang cukup dominan dalam PN itu perlu diteliti dan difahami dengan mendalam, adakah kita bersedia atau tidak berhadapan dengan PRU15," katanya kepada Astro AWANI melalui Skype pada Selasa. 

BACA: Annuar Musa dipecat serta-merta sebagai Setiausaha Agung BN

BACA: Annuar Musa tidak dipecat, beliau diganti - Ahmad Maslan

Pada masa sama katannya, kemelut yang berlaku disebabkan kerapuhan antara kerjasama parti-parti dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

"Bagi saya apa yang berlaku ini adalah kerapuhan antara kerjasama parti-parti komponen MN dan PN. Mereka sebenarnya mengalami satu kelemahan komunikasi antara satu sama lain.

"Ini perlu diperbaiki kerana rakyat memerhati apa yang dilakukan kerajaan dan parti-parti komponen PN. Rakyat akan menghukum pemimpin yang gagal menjalankan amanah mereka sebagai pemimpin," ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau melihat kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan Presiden UMNO itu mula menunjukkan ciri-ciri kepimpinan yang diperlukan anggotanya. 

"Ini kerana sebelum ini ahli UMNO dan rakyat keliru ke mana arah tuju UMNO hendak dibawa, adakah menyokong PH, atau PN? Kadang-kala kita dapat makluman, nak bina kerajaan baharu dengan parti pembangkang, tetapi apa yang dilakukan Zahid tidak dapat dikesan dengan baik, sedangkan rakyat mahu tahu bagaimana ia ditentukan oleh UMNO," tambahnya lagi. 

BACA: "Tiada komen, ini tempoh bertenang" - Annuar Musa

BACA: Pemecatan Annuar tidak jejas Gabungan Rakyat Sabah - Bung Moktar

[SIDANG MEDIA] Setiausaha Agung UMNO


Katanya, ahli UMNO mahu pendirian yang cukup tegas diterjemahkan oleh seorang pemimpin parti. 

Ia berikutan ketegasan pada saat-saat akhir hanya akan membuatkan anggota parti akan hilang kepercayaan kepada Ahmad Zahid. 

"Kita tidak boleh biarkan satu bahtera politik itu tidak mempunyai seorang ketua yang boleh mengemudi bahtera itu ke arah yang lebih baik, sedangkan ahli-ahli itu memerlukan pemimpin yang lebih sampai ke tahap yang hebat seperti sebelum ini.

"Kalau di hujung-hujung baru nak dilakukan ketegasan, saya gusar ahli UMNO itu sendiri akan menolak Zahid pada masa akan datang," katanya.