POLITICS
Pemilihan PKR: Ketua Cabang Melaka sokong Nurul Izzah tanding Timbalan Presiden

Pencalonan Nurul Izzah bukan soal personaliti semata-mata atau pertimbangan warisan, sebaliknya mengenai soal masa depan PKR. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Lima Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka menyatakan sokongan terbuka dan keyakinan penuh kepada Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden parti itu bagi sesi 2025 hingga 2028.
Ringkasan AI
- Lima Ketua Cabang PKR Melaka menyatakan sokongan terbuka kepada Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden PKR bagi sesi 2025-2028, dengan keyakinan bahawa beliau dapat memperkukuh parti dan membawa perubahan positif.
- Beliau dikenali sebagai figura penting dalam gerakan reformasi, bekas Ahli Parlimen dua penggal, serta aktivis masyarakat, dan baru-baru ini disenaraikan dalam 'Project Syndicate Forward Thinkers List' sebagai individu berpengaruh.
- Datuk Seri Rafizi Ramli telah mengesahkan akan mempertahankan jawatannya, sementara Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail masih belum mengumumkan keputusannya. Pemilihan PKR dijadualkan berlangsung pada 24 Mei.
Jelas ketua-ketua cabang tersebut, dalam dunia politik yang dinamik, parti memerlukan pemimpin yang menjadi jambatan antara generasi pengasas dan generasi baharu.
"Kami yakin Nurul Izzah mempunyai segala ciri kepimpinan tersebut.
"Beliau mampu menyuntik nafas baharu dalam PKR, memperkukuh sinergi bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, dan terus membawa obor perjuangan ke arah sebuah negara yang lebih adil, stabil dan inklusif.
"Dengan ini, kami berdiri teguh menyokong pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR bagi sesi 2025 hingga 2028.
"Semoga pencalonan ini mendapat sokongan padu daripada seluruh anggota PKR dan menjadi titik tolak kepada kebangkitan baharu parti dalam mendepani cabaran semasa serta masa depan negara," kata kenyataan bersama itu, pada Selasa.
Jelas kenyataan bersama itu lagi, Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh bukanlah nama asing dalam gerakan reformasi dan perjuangan PKR.
Kata mereka, sejak awal, Nurul Izzah telah menunjukkan keteguhan prinsip, keberanian bersuara, serta komitmen tanpa lelah dalam memperjuangkan agenda keadilan sosial, hak asasi manusia dan reformasi institusi.
"Pengalaman beliau sebagai bekas Naib Presiden parti, Ahli Parlimen dua penggal, dan aktivis masyarakat sehingga baru-baru ini disenaraikan antara 30 individu berpengaruh dalam 'Project Syndicate Forward Thinkers List'.
"Ini tentunya memberikan kekuatan dan kredibiliti untuk memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan parti," tambah kenyataan itu.
Terdahulu, Ketua Penerangan PKR Perak, Azam Afandi dan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad turut menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah untuk menggalas jawatan tersebut.
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Pahang, Rizal Jamin juga menzahirkan sokongan terbukanya kepada Nurul Izzah untuk menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden PKR bagi sesi 2025 hingga 2028.
Sebelum ini, Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan akan mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu yang akan diadakan pada hujung bulan ini.
Sementara itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail masih belum mengumumkan sama ada beliau akan bertanding jawatan sama.
Pemilihan PKR dijangka berlangsung pada 24 Mei dengan beberapa jawatan utama termasuk Timbalan Presiden menjadi tumpuan ahli dan pemerhati politik tanah air.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami